Jumaat, 7 Disember 2012

Penutup



Merujuk kepada setiap post yang dihasilkan, dapat dilihat kesemua post cenderung untuk melihat kepada implikasi penggunaan teknologi terhadap kehidupan belia. Kesemua post lebih menjurus kepada pandangan pesimis yang menyatakan bahawa teknologi yang wujud ini membawa kepada keburukan dan kebaikan dalam penggunaannya. Mengikut Teori Users Aand Gratification yang dimajukan oleh Kartz dan Blumers, teori ini menunjukkan bahawa teknologi itu digunakan untuk kepuasan pengguna (belia) itu sendiri. Oleh itu, diri belia itu sendiri yang akan menentukan bagaimana mereka ingin menggunakan teknologi sama ada ke arah kebaikan ataupun keburukan.

Kesimpulannya, bagi mengelak kepada ketidakseimbangan tersebut berterusan, belia perlu mengetahui fungsi media supaya belia tidak menjadi mangsa kepada teknologi. Belia juga perlu berfikir dengan lebih kritis dan tidak terpedaya dengan ideologi golongan elit.

' Second Self ' pada Zaman Teknologi Kini



      Penggunaan teknologi komputer tidak dapat dinafikan keupayaannya dalam menongkah arus globalisasi kini.Umumnya, pandangan awal teknologi komputer adalah alat untuk memudahkan dan mempercepatkan kerja-kerja di tempat kerja.Namun,kajian yang telah dijalankan oleh Sherry Turkle(1984)mendapati penggunaan teknologi komputer bukan sahaja memudahkan urusan seharian,malah berupaya menjadi cerminan kepada diri seseorang pengguna itu sendiri atau pun dikenali sebagai “second self”.Sherry Turkle adalah salah seorang pengkaji yang berminat menerokai pencarian diri melalui komputer.Menurut Turkle, komputer bukan sahaja ‘alat’ tetapi ia melebihi daripada itu. Komputer adalah sebahagian daripada kehidupan sosial dan psikologikal.Turkle memperkenalkan komputer sebagai  ruang yang membolehkan pengguna membuat refleksi diri – ‘Second Self’.Tahap penggunaan computer terbahagi kepada 2 iaitu “action” (menguasai teknologi ), dan “reflection” (membuat refleksi diri).

                Zaman remaja adalah waktu di mana individu cuba 
membina identiti, dilahirkan melalui cara berpakaian, pilihan muzik, dan sebagainya. Turkle cuba melihat bagaimana remaja membuat refleksi diri atau membina identiti melalui penggunaan komputer. Dia melihat komputer sebagai alat yang mempunyai sifat-sifat manusia.Turkle menjalankan kajian ke atas pelajar sekolah (remaja) yang mengambil kursus pengaturcaraan komputer.Beliau mendapati penggunaan komputer membantu pelajar mengenali diri sendiri dan memberi ruang kepada pelajar untuk melihat diri sendiri (seperti cermin) melalui komputer, lebih jelas lagi cara penggunaan mencerminkan diri mereka.

            Sebagai contoh,kes pertama yang dikaji adalah terhadap seorang pelajar yang bernama Ethan.Beliau merupakan seorang yang tidak terurus, tidak terkawal, dan obes. Turkle mendapati dia seorang yang mahir dalam pengaturcaraan komputer. Ada persamaan di antara dirinya dengan program komputer yang dibina. Dia memulai program yang menjangkaui pemikiran kognitif – tidak terurus dan terkawal– dia kemudian menukarnya kepada model hieraki yang berbentuk pergaturcaraan modular yang berstruktur.

                Kes seterusnya adalah melibatkan seorang pelajar yang bernama Bruce yang berusia 15 tahun. Beliau merupakan  seorang yang kreatif, artistik, dan individualistik. Dibesarkan dalam keluarga yang berpendidikan tinggi, mengikut peraturan. Namun, dalam diri Bruce sebenarnya suka kepada ‘disorder’ dan dan tidak suka peraturan.  Cara penggunaan komputer Bruce mencerminkan diri dalamannya – mencipta grafik yang tidak mengikut peraturan dan ganjil. Komputer menjadi ‘cermin’ untuk mengetahui ‘inner self’.

           Kesimpulannya,komputer bukan sahaja merupakan sebuah alat bagi memudahkan kehidupan seharian manusia,malahan komputer juga merupakan cerminan kepada para penggunanya dan ia juga merupakan representasi bagi individu yang menggunakannya..Hasil kajian yang dijalankan oleh Turkle menunjukkan komputer dapat menzahirkan sifat peribadi seseorang.Berdasarkan kajian yang telah beliau lakukan,jelas menunjukkan bahawa sifat seseorang itu dipamerkan melalui penggunaan  komputer atau pun perisian-perisiannya.Komputer juga mempamerkan sebahagian daripada diri yang tidak dominan,mencerminkan diri dalaman seseorang,memberi gambaran tentang pengalaman hidup yang dilalui.Sebagai contoh,para remaja  dan belia masa kini lebih aktif berkomunikasi di laman sesawang sosial,tetapi pasif apabila berkomunikasi secara interpersonal.


               Di samping itu,teknologi yang telah terhasil melalui komputer juga mampu menterjemahkan  apa yang ada dalam fikiran, masalah yang dihadapi dan jalan penyelesaian yang boleh dicapai.Maklumat yang diperlukan untuk menyelesaikan sesuatu masalah boleh dicari menggunakan kemudahan internet dan ini sekali gus memudahkan kehidupan masyarakat massa kini.

Khamis, 6 Disember 2012

Adakah fungsi sebenar teknologi komunikasi hilang?




Struktur teknologi komunikasi berkembang pesat dengan pelbagai bentuk yang wujud dan dikatakan mampu mempengaruhi masyarakat secara langsung dan tidak langsung pada masa hadapan. Walaubagaimanapun, ia dikatakan membawa kebaikan kepada golongan kapitalis. “Start today to realise the future- the internet is here and is happening now, capitalise on the future today”, itulah penyataan yang dikeluarkan dalam periklanan di United Kingdom financial press pada bulan Mac tahun 1996 yang membuktikan bahawa teknologi komunikasi akan membawa kebaikan kepada golongan kapitalis kelak.


Kerelevanan itu mungkin benar tetapi melalui teknologi komunikasi juga, masyarakat berkebolehan untuk menghubungi keluarga, orang tersayang atau sahabat yang berada di perantauan. Daripada berkomunikasi secara interpersonal masyarakat boleh berkomunikasi secara global. artikel dalam Berita Harian bertarikh 15 oktober 2012 bertajuk “Internet, Maklumat dan Anda” ada memperkatakan bahawa internet boleh digunakan untuk menyampaikan maklumat serta menjimatkan masa yang memudahkan kehidupan seharian seperti menguruskan soal perbankan, perbayaran bil-bil dan sebagainya. Penggunaan teknologi komunikasi semakin meluas terutamanya dalam kalangan belia kesan daripada hadirnya telefon pintar 3G.

Bagi melihat dengan lebih jelas mengenai peranan teknologi komunikasi ini, teori Difusi Inovasi dapat menjelaskan proses sebuah inovasi dikomunikasikan melalui pelbagai saluran dan pada jangka waktu tertentu dalam sebuah sistem sosial. Teori yang dipopularkan oleh Everett Rogers pada tahun 1964 melalui bukunya yang berjudul Diffusion of Innovations ini menyatakan bahawa idea dan teknologi boleh tersebar sehingga membentuk satu budaya yang mungkin boleh mengubah masyarakat. Tetapi adakah perubahan inovasi ini dapat digunakan sepenuhnya dan mempunyai kebaikan di dalamnya kepada masyarakat? Adakah fungsi teknologi komunikasi dapat menunjukkan demokrasi dalam masyarakat? Apabila dilihat sesetengah belia sering kali menggunakan teknologi ini untuk mengkritik seseorang melalui laman sosial atau blog.


Melihat bahawa setiap inovasi dalam teknologi komunikasi sebagai sesuatu yang positif dan perlu diterima oleh masyarakat yang menginginkan perubahan. Namun platform ini dilihat mempunyai potensi penyalahgunaan, masalah keselamatan dan kekurangan struktur dari segi penglibatan seperti yang dikatakan dalam  International Telecommunication Union press release pada bulan oktober 1995, “The internet suffer from the problem often found in resource that are in common ownership; potential misuse, security problem and a lack of structure”.

Kesimpulannya, teknologi komunikasi membawa kebaikan dari segi siapa dan tujuan menggunakannya. Teknologi komunikasi berkembang ini membawa kebaikan tetapi apakah gunanya sekiranya sesetengah tempat atau masyarakat tidak berkebolehan untuk menikmatinya. Adakah ini inovasi yang menunjukkan keseimbangan? Seharusnya kerajaan atau pihak pemerintah memikirkan satu cara yang membolehkan golongan itu berkemampuan untuk turut dalam perkembangan teknologi komunikasi. Selain itu, masyarakat terutamanya golongan belia haruslah bijak menggunakan teknologi komunikasi untuk sesuatu yang positif sebagai satu platform untuk mengkritik atau membincang sesuatu secara kritis. Jurgen Habermas percaya bahawa utnuk mengembangkan sebuah masyarakat demokratik melalui pemikiran logik dan amalan berhujah bagi menggalakkan wacana.



Selasa, 4 Disember 2012

Belia, Teknologi dan Hubungan Interpersonal


Kebelakangan ini, revolusi teknologi baharu yang membawa kepada kewujudan internet telah membawa kepada inovasi dalam dunia belia termasuklah dunia sosial mereka. Rata-rata daripada golongan belia memiliki pelbagai akaun peribadi alam maya contohnya Facebook, Yahoo Messenger, Skype dan macam-macam lagi. Kehidupan peribadi mereka khususnya berkenaan dengan privasi, persahabatan dan percintaan telah diinovasi kepada satu tingkat yang lebih mudah antaranya ialah temujanji dalam talian atau "dating online".

Pelbagai aplikasi yang terdapat dalam talian yang mengurangkan batasan sempadan komunikasi antara belia. Contohnya aplikasi Skype yang membolehkan belia berbual tanpa perlu menaip kerana interaksi antara muka ke muka dapat dilakukan. Senario ini telah membawa kepada jalinan hubungan interpersonal kesan daripada penciptaan teknologi media baru.

Namun begitu, dalam melayari kemudahan teknologi komunikasi untuk hubungan interpersonal, belia perlu berwaspada. Terdapat pelbagai kesan buruk yang menanti. Contohnya, isu yang dilaporkan Utusan Malaysia, 10 Julai 2010, oleh Suffian Abu Bakar, Mudahnya terperangkap helah ‘Awang Hitam’. Dalam tempoh enam bulan sahaja, sejumlah 83 kes 'tipu bungkusan'  (dadah) dilakukan oleh warga Afrika. Jumlah ini bukan sedikit dan ia sememangnya perlu difikirkan oleh semua.

Teknologi baru sememangnya membolehkan peluang untuk hubungan terjalin antara individu yang tidak pernah berjumpa. Bukan itu sahaja, teknologi ini dikatakan telah menjadi satu platform untuk belia membina keyakinan diri dengan membentuk personaliti yang diinginkan dalam media baru. Namun, ia juga menjadi satu perkara yang boleh membawa kepada perbezaan sikap yang ketara dalam kalangan belia hari ini kerana perbezaan antara dunia yang mereka jalani dan dunia yang mereka bentuk. Perkara ini sememangnya akan mempengaruhi hubungan interpersonal dalam diri belia.

Sebagai contoh teknologi yang membina komunikasi ialah, laporan dalam Utusan Malaysia, 5 Mac 2012, artikel yang ditulis oleh Tengku Khalidah Tengku Bidin, Cinta “Kekasih Muda” Azza. Pertemuan semula antara selebriti tempatan, Azza Elite dengan suaminya di laman sosial Facebook selepas terserempak di sebuah majlis dan selepas itu, persahabatan semakin erat dan mereka berkahwin.

Namun begitu, media baru seingkali dijadikan alasan penipuan yang berlaku. Adakah tanpa media baru, iaitu internet, penipuan dalam hubungan interpersonal ini tidak akan berlaku? Begitu juga dengan kewujudan media baru yang membolehkan persahabatan biasa berkembang menjadi persahabatan istimewa. Begitu juga dengan perhubungan interpersonal yang tercipta melalui media baru. Adakah tanpa media baru, keinginan untuk mengenali antara satu sama lain itu tidak akan tercetus?

Teori masyarakat massa, elitis konservatif yang dimajukan oleh de Tocqueville, Frederick Nietzsche, T.S Elliot, F.R Leavis dan Gasset yang secara amnya menerangkan tentang masyarakat massa adalah pasif. Melalui artikel diatas, dapat disimpulkan bahawa belia yang menggunakan teknologi media baru sememangnya mampu menggunakan teknologi itu untuk tujuan peribadi. Namun begitu, belia diibaratkan sebagai khalayak pasif yang hanya menerima maklumat yang digemburkan di media baru.

Bukan itu sahaja, situasi ‘Hegemony One Particular Group’ juga mungkin akan berlaku di mana teknologi media baru ini tidak dapat dinikmati oleh kesemua golongan belia kerana faktor ekonomi dan faktor persekitaran. Bagi mereka yang kurang mampu, adalah amat sukar untuk mereka mendapatkan bahan untuk mengakses teknologi ini dan tentunya tiada hubungan interpersonal yang dapat dicipta. Tentunya, teknologi ini lebih berpihak kepada golongan yang berkemampuan untuk memiliki dan menggunakan teknologi ini.


Kesimpulannya, tidak wajar bagi golongan belia menuding jari kepada media baru atas kelalaian sendiri semasa menggunakan teknologi komunikasi ini. Internet sememangnya membuka ruang kepada belia di seluruh dunia untuk berinteraksi seterusnya menjalinkan hubungan interpersonal. Belia wajar mengetahui batas dan panduan untuk menggunakan teknologi dengan sebaiknya.

Belia dan Komunikasi Tanpa Sempadan


         Belia dan komunikasi tanpa sempadan tidak dapat dipisahkan lagi sejak memasuki alaf 21. Komunikasi tanpa sempadan secara asasnya ialah penggunaan media massa iaitu internet yang merentasi negara. Menurut satu kajian yang dilakukan oleh Durlacher menunjukkan lelaki golongan pertengahan berumur 25 hingga 34 tahun merupakan kumpulan pengguna terbesar internet (Golding, P, 1996:141). Ini membuktikan internet merupakan aspek yang penting dalam kehidupan terutamanya golongan belia walaupun golongan lelaki yang mendominasi penggunaannya. Antara penggunaan medium internet yang popular dalam kalangan belia seperti facebook, email, dan skype.

Tahap penggunaan internet di Malaysia juga semakin popular. Menurut IDC Malaysia, Malaysia mencatatkan bilangan pengguna internet sebanyak 4.8 juta pada tahun lepas. Ia meningkat disebabkan sebagai alat atau medium komunikasi, pembelajaran, hiburan dan perniagaan yang membawa perubahan besar dalam kehidupan.

Sebagai contoh kepada para pelajar dan pendidik, penggunaan internet akan memudahkan mereka mendapatkan bahan-bahan pembelajaran termasuk untuk tugasan sekolah. Aplikasi seperti e-mel, pembelajaran dalam talian seperti yang ditawarkan Portal Pendidikan Utusan, perpustakaan digital dan sebagainya hanya boleh diperkenalkan melalui Internet. Seorang pelajar kini boleh melayari beribu-ribu perpustakaan digital di seluruh dunia dalam mendapatkan maklumat mengenai pembelajaran mereka dengan hanya perlu duduk di hadapan komputer.

Walau bagaimanapun, penggunaan internet dalam kalangan belia juga mempunyai keburukan iaitu turut melibatkan jenayah. Contohnya terdapat juga belia yang menggunakan medium internet sebagai salah satu cara untuk mengakses video-video lucah, penggunaan bahasa rojak di laman sosial, penggodaman dan sebagainya.

Bagi mengkaji kesan media massa internet ini terhadap golongan belia, teori pembelajaran sosial yang dipelopori oleh Bandura sesuai digunakan. Teori ini amat berguna dalam menganalisis kemungkinan kesan keganasan televisyen, tetapi ia juga merupakan teori umum pembelajaran yang boleh digunakan untuk bahagian lain kesan media massa. Teori pembelajaran sosial mengakui bahawa manusia boleh mendapat manfaat daripada pemerhatian dan pengalaman. (Severin, W. J, and Tankard Jr, J. W, 1997: 313). Teori ini dapat melihat hasil daripada pemerhatian dan pengalaman daripada penggunaan internet dalam kalangan belia sama ada ke arah kebaikan atau keburukan.

Selain daripada itu, kajian yang dilakukan oleh Robiah Sidin dan Nor Sakinah Mohamad (2002) masyarakat Malaysia terutama belia telah tersedia menghadapi era ICT dan yakin akan penggunaannya sebagai alat komunikasi dan ilmu pengetahuan yang boleh membawa kepada pembaharuan dan pembinaan tamadun ilmu, budaya ICT belum merentasi semua golongan masyarakat. Untuk membudayakan ICT dalam kalangan belia, adalah mustahak mereka diberi galakan dan pengukuhan di rumah sebagai peneguhan kepada asas-asas yang dipelajari di sekolah.

Kesimpulannya ialah tanpa pembangunan, bilangan pengguna internet seperti belia tidak akan meningkat. Pembangunan adalah satu proses perubahan daripada tahap yang kurang maju kepada tahap yang lebih maju. Perkembangan internet di Malaysia juga berkembang pesat dan semakin membangun dari masa ke masa. 

Kelalaian Belia




Bagai isi dengan kuku.  Belia dan teknologi sememangnya tidak dapat dipisahkan. Ledakan maklumat dan perkembangan teknologi menjadikan belia semakin peka kepada  arus globalisasi. Golongan belia atau generasi Y telah menjadikan teknologi sebagai platform utama untuk mereka berkongsi, mencari maklumat dan bersosial dengan masyarakat. Laman web sosial seperti facebook, blog, dan twiter menjadi pilihan popular dalam kalangan belia.


Menurut akhbar Berita Harian, seramai 60,000 orang pelajar yang juga tergolong sebagai belia  telah dikesan mengalami ketagihan melayari laman sesawang Facebook yang bermaksud selain daripada aktiviti sekolah, mereka memilih untuk menghabiskan masa dengan melayari internet. Laporan akhbar Berita Harian bertarikh 15 Ogos 2010 pula menyatakan, ketagihan internet dapat menjejaskan tahap kesihatan dan fizikal individu dewasa. Ketagihan ini akan menggangu proses pergaulan sosial dengan persekitaran terutamanya keluarga. Hubungan antara keluarga dan remaja tersebut akan menjadi renggang kerana kurangnya komunikasi antara mereka. Golongan belia kini tidak menyedari bahawa internet telah mnguasai mereka daripada zaman kanak-kanak sehingga dewasa. Syarikat Keselamatan Internet Antarabangsa, Norton, yang telah melakukan kajian terhadap penggunaan internet bimbang terhadap hasil kajian  mereka, iaitu purata kanak-kanak melayari internet dalam masa sebulan ialah 64 jam.


Kewujudan gajet memberi impak yang besar kepada belia khususnya penuntut Institut pengajian tinggi (IPT). Contoh terdekat ialah penggunaan telefon pintar yang menjadi keperluan untuk untuk berkomunikasi. Belia sanggup menghabiskan wang semata-mata untuk mencapai kepuasan diri sendiri iaitu untuk menunjuk-nunjuk berbanding sebagai keperluan. Contohnya telefon pintar Blackberry, gajet ini membuatkan pengguna berasa bangga apabila menggunakannya. Tidak hairanlah mereka menggunakan wang pengajian mereka untuk membeli barangan tersebut, menurut Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM) Prof Madya Dr. Mohd Fadzli Che Din,  remaja bertindak agresif apabila dihalang menggunakan kemudahan ‘online’. Selain itu, mereka juga sanggup mencuri sekiranya tidak mempunyai wang untuk memenuhi keperluan mereka.

Bukan itu sahaja, teknologi yang canggih telah menjadikan belia lalai dalam menggunakannya secara berhemah. Contohnya, penggunaan kamera telefon bimbit.  Ada dalam kalangan belia yang menggunakan kamera tersebut untuk merakam aksi-aksi yang pelik dan lucah lalu dimuatnaik dalam laman web seperti Youtube. Kadangkala, kemudahan teknologi sebegini juga dapat menimbulkan jenayah. Remaja yang terlibat dengan pergaulan bebas menjadikan video-video yang dirakam ini sebagai sumber kewangan. Aksi-aksi ranjang yang dimuatnaik di laman Youtube dapat ditonton di seluruh dunia. Perkara ini dapat dikaitkan dengan teori yang dikemukakan oleh Albert Bandura mengenai keganasan kanak-kanak, manusia cenderung melakukan perkara yang dilihat melalui mata kasar. Belia yang suka mencuba perkara baru cenderung untuk melakukan perkara tersebut. Buktinya, menurut Effendy Ibrahim, Ketua Urusan Pengguna Kawasan Asia Selatan Symantec, empat daripada lima orang belia mengakses barang haram atau tidak berlesen. Mereka melayari sesuatu  di luar batasan tanpa sempadan. Menurut kajian mereka melayari aktiviti yang dikategorikan berfrekuensi tinggi iaitu video iaitu 90%, rangkaian sosial 89% dan muat turun fail sebanyak 91%.

Selain itu, belia yang lalai dalam menggunakan teknologi telah menyebabkan berlakunya pembaziran masa dan elektrik. Hal ini terjadi kerana pengguna akan memasang alatan seperti komputer selama berjam-jam  untuk bermain game dan melayari internet. Kebarangkalian untuk mendapatkan prestasi yang rendah juga akan berlaku akibat terlalu leka dengan internet. Di samping itu, kesihatan mereka juga terabai. Terdapat segelintir belia yang melayari internet sehingga lupa untuk makan lalu mengakibatkan terjadinya penyakit seperti gastrik dan insomnia atau sukar tidur.

Kesimpulannya, kecanggihan teknologi sememangya memudahkan semua pihak untuk menjalankan kehidupan seharian namun dalam masa yang sama teknologi menimbulkan kesan buruk kepada sesetengah pihak. Golongan belia perlu dijaga kerana mereka merupakan aset negara yang akan menerajui kepmpinan Negara pada masa hadapan. Terdapat pepatah yang mengatakan gambaran remaja kini merupakan gambaran negara pada masa akan datang.

Khamis, 29 November 2012

Belia dan Kemahiran dalam Teknologi Komunikasi


         
            Perkembangan dunia teknologi sememangnya tidak boleh dipisahkan dengan kehidupan sosial serta komunikasi kita setiap hari. Kemudahan dalam melakukan akses data dan fasiliti jaringan laman sosial menjadikan kita lebih mudah untuk berinteraksi. Kemudahan seperti Facebook dan Twitter memberikan kemudahan dalam untuk mendapatkan informasi, foto, video, dan aplikasi-aplikasi lain. Banyak kebaikan dan kemudahan yang kita perolehi daripada pembangunan teknologi ini. Sebagai contoh, teknologi menghasilkan mesin-mesin yang canggih dan dapat membantu manusia menjalankan kerja dan tanggungjawab mereka dengan lebih mudah. Semua kemudahan yang diberikan teknologi kepada kita bagaimanapun mempunyai impak negatif. Contohnya kelalaian belia terhadap pelajaran, kerja dan tanggungjawab. Setiap perkara mempunyai baik dan buruk termasuklah teknologi sendiri.


            Dalam kepesatan pembangunan teknologi, kita sebenarnya kekurangan kepakaran dalam bidang ini. Masyarakat khususnya belia yang mahir dan berkemahiran tinggi amat diperlukan bagi merealisasikan sebuah negara yang maju menjelang tahun 2020. Pelajar IPTA dan IPTS merupakan merupakan individu-individu yang memegang jumlah besar dalam peratus belia. Oleh sebab itu, kita sewajarnya mengambil kesempatan ini bagi melahirkan mereka yang cekap dalam bidang teknologi seterusnya menjadi tonggak kemajuan negara dalam bidang teknologi. Tidak dinafikan, rata-rata daripada golongan belia ini tidak mahu dan tidak berminat dalam bidang teknologi. Secara amnya, mereka hanya berminat untuk menjadi ‘pelanggan’ dan ‘pengguna’ teknologi sahaja. Walau bagaimanapun, tidak mustahil bagi Malaysia melahirkan belia yang terbilang dalam bidang ini.


              Menurut Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Mohd Harun Abdullah, misi kemajuan teknologi dapat dicapai melalui penambahan graduan jurusan sains dan teknologi pada setiap tahun. (The Borneo Post, 19 Julai 2012). Menurut beliau lagi, kepakaran yang ada bukan hanya setakat mencedok ilmu atau mengubahsuai sesuatu rekaan itu tetapi dalam mencipta, menambah dan memperbaharuhi. Hal ini demikian menunjukkan bahawa dalam usaha untuk melahirkan belia yang mahir dalam bidang teknologi, institut pengajian awam dan swasta perlu memberikan kerjasama dalam menolong negara menghasilkan para graduan yang cekap dalam bidang ini supaya mereka boleh membantu mencapai wawasan negara. Belia yang celik teknologi juga seharusnya menyumbang ke arah kemajuan teknologi negara agar Malaysia tidak ketandusan tenaga berkemahiran tinggi dalam bidang yang semakin pesat membangun iaitu bidang teknologi maklumat.   

Selasa, 27 November 2012

Pentingnya Privasi Kata Laluan


Kemudahan internet kini menjadi semakin meluas dan tidak terhad untuk melayari laman sesawang sahaja. Bak kata pepatah ‘tiap-tiap yang baik ada buruknya’, kemudahan tanpa batasan ini diiringi dengan ancaman penembusan dan kecurian kata laluan yang semakin teruk dan berleluasa.

Rata-rata pengguna berkongsi segala bentuk maklumat peribadi, gambar, video, lagu dan sebagainya di dalam laman tersebut. Malangnya, semakin banyak yang dikongsi, semakin terdedah seseorang itu terhadap kecurian identiti. Menerusi maklumat yang digodam, pencuri versi baru ini mampu menggunakan informasi tersebut untuk membuka akaun bank, memiliki kad kredit, memohon lesen memandu dan juga passport serta pelbagai jenayag siber yang lain. Kecurian identiti  ialah perbuatan khianat di mana penjenayah siber mencuri maklumat sulit  yang kemudiannya digunakan secara tidak sah bagi memperolehi perkhidmatan ataupun perkara yang tertentu.

            Pada ketika inilah kata laluan memainkan peranan paling penting. Kata laluan secara teknikalnya digunakan untrk melindungi maklumat sulit lantas membuatkan penjenayah siber sukar untuk mencuri maklumat. Namun pemilihan kata laluan haruslah dibuat dengan berhati-hati berikutan ia adalah aspek ketara bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa.

Perkembangan teknologi komunikasi ini telah banyak diperdebatkan dalam kalangan  sarjana yang membawa sama ada perspektif optimis mahupun pesimis. Hamelink antara sarjana yang mengatakan bahawa mitos masyarakat informasi yang dibawa oleh sarjana optimis adalah terpesong kerana telah menyamakan perkembangan teknologi dengan peningkatan taraf hidup manusia. (Hamelink, 1968: 12). Dengan berkembangnya internet pada hari ini seperti yang diketengahkan dalam bacaan Peter Golding dalam bacaan Worldwide Wedge: Division and Contradiction in the global information infrastructure, beliau menyatakan bahawa kehadiran internet telah mempengaruhi pelbagai faktor dalam hidup kita dan ia sebenarnya semakin menguatkan lagi pengaruh golongan kapitalis untuk mendominasi masyarakat secara tidak langsung. Dalam International Telecommunication Union press release menyatakan bahawa “The internet suffers from the problems often found in the resources that are in common ownership: potential misuse,security problems and lack of structure”.

Kesimpulannya, hal ini jelas membuktikan bahawa semakin berkembangnya internet dan teknologi, maka hal ini mampu mengundang lebih banyak masalah. Selain itu, muncul pihak yang cuba mengambil kesempatan dalam kesempitan yang dilihat kian meruncing dalam kalangan masyarakat yang didakwa homogeneous oleh sarjana-sarjana yang berpandangan dominan pluralis seperti Emilie Durkheim dan Talcott Parson. Masyarakat sebenarnya adalah sesuatu yang kompleks dan heterogenous untuk dirungkaikan. Keadaan ini akan memberikan impak yang negatif, antaranya tiadanya pengawasan terhadap pengaliran maklumat dan sekuriti dalam media global ini. Herbert Schiller antara sarjana yang memberikan rangkuman dalam isu perkembangan teknologi ini dengan menyatakan bahawa baik ataupun buruk penggunaan teknologi ini adalah bergantung kepada masyarakat kerana hanya mereka sahaja yang dapat menentukannya.

Isu Plagiat yang meruncingkan

              
               Plagiat menurut kamus dewan bahasa dan pustaka ialah menggunakan hasil karya, idea, penulisan orang lain untuk disiarkan kembali sebagai karya sendiri. Perkara ini seringkali terjadi dalam konteks pelajar universiti. Seringkali ia menjadi pilihan pelajar apabila tiba masa untuk menyiapkan tugasan terutamanya di saat akhir. Dengan kemudahan internet yang memudahkan pengaksessan maklumat di hujung jari pelajar, dilihat menggunakan teknologi menyalahi etika apabila seseorang individu menciplak hasil karya individu lain ke dalam tugasannya.

                Kualiti pelajar menjadi persoalan sekiranya isu plagiat tidak ditangani sebaiknya. Internet telah menjadi medium yang membantu pelajar dalam menyiapkan tugasan mereka. Namun begitu, isu plagiat hasil kerja yang diperolehi melalui teknologi media baru ini akan menjadikan kualiti kecemerlangan pelajar itu sebagai satu pertikaian. Kemudahan seperti penjimatan masa dan tenaga daripada maklumat di hujung jari disalah gunakan oleh pelajar tanpa memikirkan kesan jangka masa panjang kepada diri sendiri.

                Mengikut teori kebergantungan daripada bacaan “Approaches to theorizing international communication” tulisan Thussu, dikatakan bagaimana suatu keadaan mewujudkan dominasi dalam masyarakat. Bacaan ini telah membincangkan dari aspek sosial, politik dan ekonomi yang wujud di negara dunia ketiga dan kebergantungan kepada negara maju. Contohnya seperti yang dimajukan berkaitan perkembangan di Amerika Latin di bawah pengawasan Amerika Syarikat (AS).

                Menurut teori yang dimajukan, keadaan dan situasi plagiat dapat dikaitkan sebagai suatu kebergantungan kerana pelajar mengharapkan dengan kewujudan teknologi informasi itu mampu memudahkan kehidupan mereka. Namun begitu, setiap kebergantungan tidak membawa kepada aspek positif semata-mata. Daripada petikan akhbar Utusan Malaysia, isu ini dibincangkan dengan tajuk “Plagiat internet- Budaya baru ancam kecemerlangan pelajar”.  Datuk Ibrahim Ahmad Bajunid dalam petikan itu berkata sikap pelajar kurang membaca dan malas adalah perkara yang harus diberi perhatian. Ekoran daripada itu, pelajar gemar mengambil jalan mudah untuk memplagiat kerana mereka tidak perlu meluangkan masa membuat kajian bagi tugasan  yang diberikan.

                Plagiat juga dianggap sebagai perkara remeh dalam kalangan pelajar jika tiada sebarang tindakan yang dikenakan ke atas pelakunya. Namun begitu, perkara ini juga telah dilaporkan media. Menurut laporan Bernama bertarikh 2 Oktober 2003 menjelaskan implikasi yang akan diterima oleh individu dalam kes plagiat. Kesalahan yang kecil masih boleh diberikan amaran pada mulanya, namun jika kesalahan yang berat ia boleh menyebabkan seseorang digantung daripada universiti jika terbukti bersalah. Jelas di sini bahawa plagiat ialah salah satu kesalahan yang layak diberikan hukuman.

                Kesimpulannya, teknologi internet seharusnya menjadi medium yang membantu dan bukannya dijadikan alat kepada seorang pelajar bergantung sepenuhnya. Plagiat hanya menghadkan pemikiran suatu penulisan ilmiah terhad kepada pandangan bahan internet semata-mata tanpa wujud pemikiran serta analisis daripada pelajar.

Selasa, 20 November 2012

Jutawan Internet


Perniagaan atau pemasaran internet yang lebih dikenali sebagai Internet Marketing merupakan istilah umum bagi pelbagai jenis promosi ataupun jualan produk yang dilakukan melalui medium atau platform dalam laman sesawang secara talian. Sekiranya ada di antara individu tidak pernah menceburi bidang perniagaan sebelum ini, pasti individu tersebut akan menganggap perniagaan internet ini sebagai pelaburan internet dan skim cepat kaya yang bersifat penipuan. Namun begitu, internet sememangnya banyak membantu dunia perniagaan.

Perniagaan dalam internet ini merupakan antara perniagaan yang paling menguntungkan kerana secara tidak langsung kos fizikal dapat dikurangkan. Perniagaan internet ini boleh membuatkan seseorang itu menjadi jutawan. Hal ini berlaku apabila si pengusaha dapat mengiklankan perkhidmatan atau barang dalam ruang siber dan mendapat pulangan daripadanya. Mark Zuckerberg, Andrew Mason, Blake Ross, Naveen Selvadurai dan ramai lagi telah menggunakan teknologi sebagai landasan utama mereka untuk mecapai kejayaan. Dalam post kali ini, kami akan menulis artikel yang mempaparkan jutawan muda berasal dari Malaysia yang menggunakan teknologi sebagai batu lonjatan menuju ke kejayaan.

Memperoleh keuntungan lumayan hingga mampu bergelar jutawan pada usia muda menjadi impian setiap insan.Jika anda mengenali pengasas laman lelongan menerusi internet yang dikenali Ebay, Pierre Omidyar yang menjadi jutawan dalam usia belum pun mencecah 30 tahun. Berikutan kejayaan Omidyar jugalah mendorong anak muda tempatan lulusan sarjana muda reka cipta multimedia dari universiti Staffordshire, United Kingdom. Irfan Khairi, 28, menceburi perniagaan sendiri di internet yang membanggakan belia.

Menurut teori masyarakat massa yang menyatakan manusia adalah seimbang dan bergerak mengikut kapasiti diri tanpa mewujudkan masalah. Teori ini dipelopori oleh Emilie Durkheim dan Talcott Parson ini sebenarnya tidak melihat struktur masyarakat yang lebih besar dan homogeneous. Dalam hal ini, dapat kita lihat keadaan yang dianggap seimbang dalam kalangan masyarakat khasnya golongan belia untuk mengakses segala maklumat melalui internet dan mengambil peluang terhadap peluang itu. Namun, kesilapan yang major dalam teori ini adalah tidak mendasari struktur realiti masyarakat yang  heterogenous dan kompleks.

Kesimpulannya, kemudahan internet sebenarnya memberi potensi yang cukup besar dalam memperluaskan perniagaan. Perniagaan seperti ini amat sesuai diceburi golongan siswazah yang sedang menganggur kerana mereka mempunyai pelbagai kepakaran dalam bidang yang boleh diniagakan menerusi internet, asalkan mereka celik IT, mempunyai peralatan komputer dan kemudahan internet. Oleh itu, pihak kerajaan haruslah memantau kebaikan teknologi ini dan berusaha mengadakan pelbagai program atau aktiviti yang mampu melahirkan belia yang berjaya dalam bidang teknologi ini. Namun begitu, perniagaan melalui internet ini memerlukan usaha yang gigih selain daripada teknik serta ilmu pemasaran yang betul seperti mana perniagaan secara talian yang lain.

Penggunaan Teknologi dalam Golongan Belia Luar Bandar

         Maimunah (1990) mendefinisikan pembangunan luar bandar sebagai satu proses meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar melalui penambahbaikkan dalam aspek pembangunan hidup  manusia secara keseluruhannya. Dalam konteks teknologi pula, teknologi dalam kehidupan mencakupi suatu konsep yang luas. Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) merupakan suatu unsur diperlukan  dalam kerja-kerja pemprosesan data. Menurut Rogers pula, (dalam Seels, Richey,1994: 12), teknologi adalah suatu langkah rancangan instrumental untuk memperkecil keraguan mengenai hubungan sebab akibat dalam mencapai hasil yang diharapkan. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak kerajaan bagi memastikan masyarakat luar bandar dapat menikmati teknologi maklumat masa kini agar mereka tidak ketinggalan dalam menulusuri arus pemodenan.

Pembangunan luar bandar ini sebenarnya bertujuan membawa masyarakat luar bandar yang masih ketinggalan ke dalam proses pembangunan masa kini, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastuktur dan ekonomi. Pelan pembangunan ini lebih memberi penekanan kepada aspek sumber manusia, ekonomi serta menaiktaraf kemudahan infrastruktur. Perancangan terkini yang telah dirangka ialah menekankan keutamaan ‘empowerment’ masyarakat luar bandar, bersifat dinamik dan mapan, serta berupaya menghadapi cabaran masa hadapan dengan mencapai status ekonomi yang di  peringkat nasional.

     Teori  yang diutarakan oleh Marxist menerangkan bagaimana penggunaan  menganggap bahawa proses pembangunan dunia ketiga perlu dikaji berpandukan keadaan yang berlaku di Barat. Teori ini disinonimkan dengan proses pembangunan golongan belia di luar bandar. Di barat golongan yang lebih berkuasa ini akan memunggah keluar sumber-sumber utama seperti sumber modal dan guna tenaga untuk kepentingan mereka sendiri (Frank, 1969 ; Leys, 1975). Hal ini menyebabkan golongan yang lemah seperti penduduk desa akan tertindas. Teori ini juga menekankan perlunya usaha untuk mengurangkan ketaksamaan dan ketidakseimbangan ekonomi yang telah wujud akibat kawalan oleh golongan yang lebih berkuasa (Long , 1977: 3) .

Pendekatan teori marxist juga menyatakan bahawa dari segi ekonomi , politik dan budaya sektor desa bergantung kepada golongan metropolis yang lebih berkuasa . Hal ini menyebabkan golongan minoriti yang umumnya petani akan terpisah dan bergantung kepada golongan majoriti yang memonopoli kuasa serta sumber ekonomi (Rahimah Aziz, 1989 :198,199). Teori ini dapat disamakan dengan keadaan masyarakat luar bandar yang bandar yang masih lagi mundur dan masih lagi bergantung kepada kawasan bandar untuk mendapatkan keperluan-keperluan penting seperti penggunaan teknologi ICT.

Secara kesimpulannya , pembangunan luar bandar amat penting agar masyarakat luar bandar tidak terpinggir dan ketinggalan berbanding masyarakat bandar. Hal ini juga dapat menjamin masa depan generasi masa hadapan penduduk luar bandar. Oleh itu, semua pihak haruslah melakukan perubahan yang positif terhadap golongan belia luar bandar supaya tidak lagi dianggap golongan yang pasif dan mampu mengerakkan pembangunaan dan pemodenan menerusi pengaplikasian penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian mereka.

Selasa, 6 November 2012

Ketagihan Blog dalam Kalangan Belia



            Golongan belia merupakan pemacu Negara pada masa akan datang. Menurut Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668),  belia ialah individu yang berumur tidak kurang daripada usia 15 tahun dan tidak melebihi usia 40 tahun. Melalui aspek arus globalisasi, anjakan paradigma dalam teknologi komunikasi mampu memberi impak positif mahupun negatif dalam kehidupan belia.

Antara teknologi komunikasi baru ialah internet yang menonjolkan blog sebagai satu tarikan kepada masyarakat. Menurut Dominick di dalam bukunya The Dynamic of Mass Communication, ‘blog merupakan  singkatan kepada web-log yang berbentuk jurnal atau diari di mana pengguna boleh menulis apa sahaja yang mereka mahu seperti berita, politik, sukan, muzik dan sebagainya. Blog merupakan salah satu contoh perkhidmatan Web 2.0.


Penggunaannya semakin meluas. Terdapat perisian percuma dalam internet untuk sesiapa sahaja menghasilkan blog masing-masing. Blog mengandungi informasi tentang diri sendiri, gambar dan hasil kreativiti, pendapat politik serta pautan kepada laman web lain.

     Salah satu fungsi blog adalah mewujudkan ruang sfera awam dalam alam maya yang mencipta budaya komunikasi dua hala tanpa perlu bersemuka Hal ini dapat dijelaskan dengan pengggunaan laman sosial seperti blog, twitter dan facebook yang membolehkan mereka bebas untuk melontarkan pandangan mereka serta keinginan mereka. Mereka juga berpeluang mengambil bahagian dalam proses demokrasi.

‘Any citizen can be a reporter. [The modem] lets you cover the world’
                                         Matt Drudge at a 1998 National Press Club Forum

Blog boleh membentuk sfera awam. Konsep sfera awam yang diasaskan oleh  Jurgen Habermas bermaksud ruang bagi orang ramai yang tidak berkuasa atau tidak mempunyai kuasa berkumpul sebagai public.Secara spesifik, sfera awam bermaksud ruang untuk orang ramai berkumpul secara bebas daripada institusi negara atau kegiatan ekonomi bagi membolehkan mereka berdebat secara rasional dan kritikal serta membuat keputusan tentang kepentingan mereka.
                                                                                                    
‘The internet makes us all journalists, broadcasters, columnists, commentators and critics’.
                                           Lawrence K.Grossman, Columbia Journalism Review

Menurut sarjana Habermas di dalam Curren, beliau mengatakan bahawa kita memerlukan satu sfera awam yang demokratik iaitu satu ruang untuk bertukar pandangan tentang demokrasi dalam negara. Pandangan Habermas ini berasaskan kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Benhabib di dalam Curren, yang menyatakan bahawa mereka yang mendapat kesan daripada norma sosial dan keputusan politik kolektif mempunyai suara di dalam pembentukan, penggubalan dan pengunaannya.Namun begitu, kebebasan bersuara dan aliran bebas informasi serta sfera awam yang  dimajukan oleh teknologi komunikasi telah memberi impak negatif dalam pembangunan diri belia.






         Menurut Husain Mohamed (1977) di dalam keratan akhbar Berita Harian, belia mempunyai beberapa sifat seperti sifat mencabar, resah gelisah serta memiliki kecenderungan menentang ‘establishment’ dan ‘status quo’ masyarakat. Implikasi buruk boleh tercetus untuk mereka bersifat antisosial dan radikal. Justeru, belia adalah golongan yang boleh digunakan sama ada untuk tujuan kebaikan atau sebaliknya. Golongan-golongan belia yang bersifat antisosial dan radikal ini cuba mencabar status quo dengan menggunakan blog sebagai wadah bagi menyampaikan pandangan atau ideologi kritis. 

Sorotan sejarah: mengenai pemikiran Kritis

            Ideologi kritis merupakan pendekatan yang didukung oleh pandangan Karl Marx. Pandangan yang menyatakan bahawa media memupuk pandangan mereka yang berkuasa atau ideologi dominan. Sebabagai contoh, pandangan kapitalis, (dalam konteks ini yang dimaksudkan ialah golongan pemerintah) pandangan ini diasaskan kepada pergolakan dalam sistem kelas. Secara umumnya, pergolakan antara kelas berada dan kelas bawahan  membawa kepada pemupukan ideologi dominan yang harus dipegang oleh masyarakat. Kesannya, penindasan oleh mereka yang berkuasa berlaku ke atas mereka yang tidak mempunyai kuasa.

Peperangan ideologi antara blogger-blogger yang mempunyai aliran pemikiran yang berbeza iaitu optimis dan radikal menyebabkan blog dijadikan landasan bagi mencipta pergelutan menggunakan ayat sebagai senjata. Golongan belia yang tidak menyenangi tampuk pemerintahan negara menggunakan blog untuk menyebarkan informasi-informasi mengenai salah laku pemerintah. Mereka dianggap memfitnah pemerintah dan dikenakan tindakan undang-undang.

Hal ini kerana informasi tersebut berbau hasutan dan tertakluk kepada Akta Hasutan 1948. Antara blogger yang pernah ditahan ialah Raja Petra Kamaruddin. Begitu juga dengan Syed Akbar Ali, blogger yang baru-baru ini didakwa menjadi bukti kepada semua bahawa ‘blogger’ tidak kebal dari undang-undang. (sumber: rencana di dalam akhbar Kosmo) faktor anonimiti iaitu ketanpanamaan meyebabkan ‘blogger’ dalam kalangan belia sukar dijejaki.

Kesimpulannya, teknologi komunikasi seperti blog, mempunyai impak terhadap dunia belia dan negara. Golongan belia seharusnya menggunakan media dengan bijak dan tidak terpengaruh dengan mana-mana ideologi. Hal ini adalah kerana belia merupakan generasi yang akan mentadbir negara kelak.


Selasa, 30 Oktober 2012

Gajet dan belia



Apakah yang dimaksudkan dengan “Gajet”?  Gajet merupakan sebuah inovasi teknologi baru yang mempunyai kemampuan yang lebih baik dalam bentuk terkini, moden dan menarik. Gajet juga memiliki tujuan dan fungsi lebih praktis dan lebih bermanfaat. Menurut Martin J. Osborne (2001), gajet juga dikenali sebagai gizmos. Gajet acap kali dikaitkan sebagai sebuah alatan yang bersifat pintar.  Secara umumnya, gajet adalah berkaitan dengan alat dan teknologi kecil yang memiliki fungsi khusus, tetapi sering dikatakan sebagai sebuah barang elektronik baru.

Kewujudan teknologi yang canggih ini menjadikan kehidupan manusia zaman kini lebih maju dan semakin mendapat tempat di hati golongan muda yang sentiasa pantas mengejar teknologi selaras dengan kemajuan teknologi dunia masa kini. Gajet-gajet ini walaupun harganya agak mahal tetapi belia sanggup membelinya kerana minat yang mendalam terhadap gajet tersebut. Namun, belia haruslah mengkaji secara lanjut mengenai spesifikasi peralatan elektronik atau gajet masa kini. Meskipun faktor kemampuan kadang kala menjadi penghalang, namun begitu hal ini tidak membataskan keinginan belia untuk memiliki gajet-gajet hebat yang bersesuaian dengan cita rasa dan keperluan diri mereka.

Kesimpulannya, perkembangan teknologi ini tidak dihasilkan dalam konteks yang kosong. Hal ini bermakna teknologi adalah tertakluk kepada siapa yang memiliki dan mengawal sumber seperti yang dibicarakan oleh Golding dan Murdock. Namun begitu, penggunaan teknologi ini sebenarnya bergantung kepada kebijaksanaan pengguna itu sendiri seperti yang dibahaskan oleh Ithiel De Solo dan Everett Rogers seperti dalam pandangan berkecuali yang merupakan salah satu antara pandangan  terhadap perkembangan teknologi. Berbalik dengan isu yang diketengahkan, secara umumnya kita haruslah melihat bagaimana sesuatu teknologi itu mampu mempengaruhi golongon-golongn tertentu khasnya para belia untuk berusaha memiliki sesuatu teknologi. Hal ini jelas menunjukkan bahawa sesiapa yang mempunyai sumber dan kuasa mampu memiliki teknologi tersebut dan kegunaannya adalah bergantung kepada kebijaksanaan pengguna.