Selasa, 6 November 2012

Ketagihan Blog dalam Kalangan Belia



            Golongan belia merupakan pemacu Negara pada masa akan datang. Menurut Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668),  belia ialah individu yang berumur tidak kurang daripada usia 15 tahun dan tidak melebihi usia 40 tahun. Melalui aspek arus globalisasi, anjakan paradigma dalam teknologi komunikasi mampu memberi impak positif mahupun negatif dalam kehidupan belia.

Antara teknologi komunikasi baru ialah internet yang menonjolkan blog sebagai satu tarikan kepada masyarakat. Menurut Dominick di dalam bukunya The Dynamic of Mass Communication, ‘blog merupakan  singkatan kepada web-log yang berbentuk jurnal atau diari di mana pengguna boleh menulis apa sahaja yang mereka mahu seperti berita, politik, sukan, muzik dan sebagainya. Blog merupakan salah satu contoh perkhidmatan Web 2.0.’


Penggunaannya semakin meluas. Terdapat perisian percuma dalam internet untuk sesiapa sahaja menghasilkan blog masing-masing. Blog mengandungi informasi tentang diri sendiri, gambar dan hasil kreativiti, pendapat politik serta pautan kepada laman web lain.

     Salah satu fungsi blog adalah mewujudkan ruang sfera awam dalam alam maya yang mencipta budaya komunikasi dua hala tanpa perlu bersemuka Hal ini dapat dijelaskan dengan pengggunaan laman sosial seperti blog, twitter dan facebook yang membolehkan mereka bebas untuk melontarkan pandangan mereka serta keinginan mereka. Mereka juga berpeluang mengambil bahagian dalam proses demokrasi.

‘Any citizen can be a reporter. [The modem] lets you cover the world’
                                         Matt Drudge at a 1998 National Press Club Forum

Blog boleh membentuk sfera awam. Konsep sfera awam yang diasaskan oleh  Jurgen Habermas bermaksud ruang bagi orang ramai yang tidak berkuasa atau tidak mempunyai kuasa berkumpul sebagai public.Secara spesifik, sfera awam bermaksud ruang untuk orang ramai berkumpul secara bebas daripada institusi negara atau kegiatan ekonomi bagi membolehkan mereka berdebat secara rasional dan kritikal serta membuat keputusan tentang kepentingan mereka.
                                                                                                    
‘The internet makes us all journalists, broadcasters, columnists, commentators and critics’.
                                           Lawrence K.Grossman, Columbia Journalism Review

Menurut sarjana Habermas di dalam Curren, beliau mengatakan bahawa kita memerlukan satu sfera awam yang demokratik iaitu satu ruang untuk bertukar pandangan tentang demokrasi dalam negara. Pandangan Habermas ini berasaskan kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Benhabib di dalam Curren, yang menyatakan bahawa mereka yang mendapat kesan daripada norma sosial dan keputusan politik kolektif mempunyai suara di dalam pembentukan, penggubalan dan pengunaannya.Namun begitu, kebebasan bersuara dan aliran bebas informasi serta sfera awam yang  dimajukan oleh teknologi komunikasi telah memberi impak negatif dalam pembangunan diri belia.






         Menurut Husain Mohamed (1977) di dalam keratan akhbar Berita Harian, belia mempunyai beberapa sifat seperti sifat mencabar, resah gelisah serta memiliki kecenderungan menentang ‘establishment’ dan ‘status quo’ masyarakat. Implikasi buruk boleh tercetus untuk mereka bersifat antisosial dan radikal. Justeru, belia adalah golongan yang boleh digunakan sama ada untuk tujuan kebaikan atau sebaliknya. Golongan-golongan belia yang bersifat antisosial dan radikal ini cuba mencabar status quo dengan menggunakan blog sebagai wadah bagi menyampaikan pandangan atau ideologi kritis. 

Sorotan sejarah: mengenai pemikiran Kritis

            Ideologi kritis merupakan pendekatan yang didukung oleh pandangan Karl Marx. Pandangan yang menyatakan bahawa media memupuk pandangan mereka yang berkuasa atau ideologi dominan. Sebabagai contoh, pandangan kapitalis, (dalam konteks ini yang dimaksudkan ialah golongan pemerintah) pandangan ini diasaskan kepada pergolakan dalam sistem kelas. Secara umumnya, pergolakan antara kelas berada dan kelas bawahan  membawa kepada pemupukan ideologi dominan yang harus dipegang oleh masyarakat. Kesannya, penindasan oleh mereka yang berkuasa berlaku ke atas mereka yang tidak mempunyai kuasa.

Peperangan ideologi antara blogger-blogger yang mempunyai aliran pemikiran yang berbeza iaitu optimis dan radikal menyebabkan blog dijadikan landasan bagi mencipta pergelutan menggunakan ayat sebagai senjata. Golongan belia yang tidak menyenangi tampuk pemerintahan negara menggunakan blog untuk menyebarkan informasi-informasi mengenai salah laku pemerintah. Mereka dianggap memfitnah pemerintah dan dikenakan tindakan undang-undang.

Hal ini kerana informasi tersebut berbau hasutan dan tertakluk kepada Akta Hasutan 1948. Antara blogger yang pernah ditahan ialah Raja Petra Kamaruddin. Begitu juga dengan Syed Akbar Ali, blogger yang baru-baru ini didakwa menjadi bukti kepada semua bahawa ‘blogger’ tidak kebal dari undang-undang. (sumber: rencana di dalam akhbar Kosmo) faktor anonimiti iaitu ketanpanamaan meyebabkan ‘blogger’ dalam kalangan belia sukar dijejaki.

Kesimpulannya, teknologi komunikasi seperti blog, mempunyai impak terhadap dunia belia dan negara. Golongan belia seharusnya menggunakan media dengan bijak dan tidak terpengaruh dengan mana-mana ideologi. Hal ini adalah kerana belia merupakan generasi yang akan mentadbir negara kelak.


Selasa, 30 Oktober 2012

Gajet dan belia



Apakah yang dimaksudkan dengan “Gajet”?  Gajet merupakan sebuah inovasi teknologi baru yang mempunyai kemampuan yang lebih baik dalam bentuk terkini, moden dan menarik. Gajet juga memiliki tujuan dan fungsi lebih praktis dan lebih bermanfaat. Menurut Martin J. Osborne (2001), gajet juga dikenali sebagai gizmos. Gajet acap kali dikaitkan sebagai sebuah alatan yang bersifat pintar.  Secara umumnya, gajet adalah berkaitan dengan alat dan teknologi kecil yang memiliki fungsi khusus, tetapi sering dikatakan sebagai sebuah barang elektronik baru.

Kewujudan teknologi yang canggih ini menjadikan kehidupan manusia zaman kini lebih maju dan semakin mendapat tempat di hati golongan muda yang sentiasa pantas mengejar teknologi selaras dengan kemajuan teknologi dunia masa kini. Gajet-gajet ini walaupun harganya agak mahal tetapi belia sanggup membelinya kerana minat yang mendalam terhadap gajet tersebut. Namun, belia haruslah mengkaji secara lanjut mengenai spesifikasi peralatan elektronik atau gajet masa kini. Meskipun faktor kemampuan kadang kala menjadi penghalang, namun begitu hal ini tidak membataskan keinginan belia untuk memiliki gajet-gajet hebat yang bersesuaian dengan cita rasa dan keperluan diri mereka.

Kesimpulannya, perkembangan teknologi ini tidak dihasilkan dalam konteks yang kosong. Hal ini bermakna teknologi adalah tertakluk kepada siapa yang memiliki dan mengawal sumber seperti yang dibicarakan oleh Golding dan Murdock. Namun begitu, penggunaan teknologi ini sebenarnya bergantung kepada kebijaksanaan pengguna itu sendiri seperti yang dibahaskan oleh Ithiel De Solo dan Everett Rogers seperti dalam pandangan berkecuali yang merupakan salah satu antara pandangan  terhadap perkembangan teknologi. Berbalik dengan isu yang diketengahkan, secara umumnya kita haruslah melihat bagaimana sesuatu teknologi itu mampu mempengaruhi golongon-golongn tertentu khasnya para belia untuk berusaha memiliki sesuatu teknologi. Hal ini jelas menunjukkan bahawa sesiapa yang mempunyai sumber dan kuasa mampu memiliki teknologi tersebut dan kegunaannya adalah bergantung kepada kebijaksanaan pengguna.


Selasa, 23 Oktober 2012

Jenayah siber



Kemudahan teknologi membolehkan masyarakat lebih peka dan pantas dalam melakukan tugasan seharian serta menjadikan sesebuah negara semakin maju baik dari segi ekonomi dan sosial. Namun pelbagai masalah seringkali berlaku dalam penyalahgunaan teknologi seperti jenayah siber. Pada asasnya jenayah yang melibatkan penyalahgunaan komputer atau alat-alat ICT boleh didefinisikan sebagai jenayah siber.

Jenayah siber adalah jenayah yang tertinggi dikalangan negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, China, Jepun dan Korea. “Satu masalah utama untuk membezakan ancaman siber dengan ancaman fizikal adalah untuk menentukan siapa yang menyerang sistem kita, mengapa, bagaimana dan dari mana,” Michael A.Vatis dari FBI. Keadaan ini memberikan kesan negatif kepada pusat beli belah dan peluang pekerjaan dan hampir satu per empat daripada remaja berumur 15 hingga 17 tahun menggunakan internet untuk menipu dalam kerja sekolah mereka.

Menurut akhbar Utusan Malaysia bertarikh 9 April 2012, jenayah siber mencatat kerugian mencecah lebih RM49.46 juta setahun akibat kepercayaan rakyat negara ini terhadap laman sosial. Cinta siber ini yang membutakan pengguna agar terlibat dalam masalah ini. Manakala dalam akhbar Berita Harian bertarikh 28 Jun 2012 pula, 10 peratus pengguna telefon mudah alih ialah wanita dan digunakan untuk bersosial dalam internet berbanding lelaki. Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Wilayah Sabah dan Labuan, Bukhairi Yahya  menasihatkan agar kaum wanita di negara ini agar lebih berhati-hati. Bukan isu gender yang ingin diketengahkan namun persoalannya ialah kegagalan jenayah sebegini yang tidak dapat dibendung oleh sesetengah pihak.

Bila dilihat dari sudut undang-undang, Akta Jenayah komputer 1997 (Akta 563) misalnya menyatakan seseorang yang melakukan kesalahan dibawah seksyen ini hendaklah apabila disabitkan boleh didenda atau melebihi dua puluh lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua. (Lembaga PenyelidikanUndang-Undang, 2003).

Pelbagai pendapat yang diketengahkan berkaitan dengan perkembangan teknologi maklumat ini sama ada pesimis ataupun optimis. Perpektif yang dimajukan oleh Ithiel de Sola Pool yang menyatakan bahawa teknologi tidak sepatutnya ada dalam tangan pasaran tetapi hendaklah diregulasikan. Hal ini bermakna kemunculan teknologi dapat memajukan masyarakat yang berinformasi. Berbeza pula dengan pandangan Herberst Schiller yang pesimis dengan perkembangan teknologi ini kerana melihat struktur masyrakat yang kompleks dan bukanlah homogeneuous dan kemunculan masyarakat berkelas serta ekonomi kapitalis akan mewujudkan pendominsian yang mengekploitasi kelas bawahan. Hal ini memberi impak negatif yang menyebabkan kehncuran dan kemusnahan masyarakat. Masing-masing memberikan pandangan yang berbeza tentang penggunaan teknologi komunikasi ini dan sebenarnya semuanya bergantung pada kebijaksanaan si penggunanya.


Selasa, 16 Oktober 2012

Penggunaan internet dan implikasinya dalam kalangan belia

            
     Teknologi adalah sesuatu yang sangat luas definisinya dan boleh diletakkan sebagai satu konsep dalam kemajuan sesebuah negara atau individu. Lazimnya, ia dikaitkan dengan pembangunan dan penggunaan alatan, mesin, bahan dan proses untuk memudahkan kehidupan seharian manusia. Jika dilihat daripada pandangan Optimis mengenai teknologi komunikasi dan masyarakat, kemunculan Internet sebagai antara alat komunikasi utama dunia telah menjadikan ianya sebagai kaedah penyebaran maklumat yang sarat dengan maklumat berguna dan bermanfaat  sehingga mampu mewujudkan masyarakat yang seimbang. Namun begitu, kebebasan untuk menyebarkan sebarang maklumat yang juga dicipta oleh manusia itu menjadi semakin tidak terkawal berikutan kewujudan berjuta-juta laman web dalam masa yang singkat. Kesahihan maklumat juga kerap dipertikaikan.
Berdasarkan kajian 'Norton Online Living Report' (NOLR) yang dijalankan di Malaysia mengenai tabiat penggunaan internet di negara ini, para belia menghabiskan masa 16 jam seminggu melayari internet. Manakala, kajian yang dilakukan oleh Grunwald Associates LLC mendapati golongan ini menghabiskan hampir sembilan jam seminggu melakukan aktiviti dalam jaringan sosial ini. Berdasarkan statistik di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa penggunaan internet di Malaysia adalah bukan sesuatu yang asing di kalangan belia.
Internet merupakan medium interaksi  tanpa sempadan. Melaluinya, belia dapat menambah kenalan dari seluruh pelusuk dunia, bertukar pandangan dan berkongsi cerita mengenai negara dan budaya masing-masing. Secara tidak langsung, hal ini dapat memupuk semangat perpaduan dan keamanan sejagat kerana para pengguna dapat bertukar pengetahuan dan berkomunikasi. Dari persepektif positif, penggunaan internet menjimatkan masa,tenaga dan juga wang. Internet juga dilihat sangat berguna untuk tujuan pembelajaran. Sebagai contoh, e-Learning Univerisiti Sains Malaysia menyediakan platform bagi pelajarnya berinteraksi bersama pelajar lain semasa berada dibilik atau di kawasan lain.
            Penyampaian setiap satu mesej dalam media mampu mempengaruhi masyarakat tanpa mereka sedari, seperti Teori Jarum Suntikan (Hypodermic Needle/ Bullet). Media dianggap sebagai medium yang sangat berkuasa atau berpengaruh dan berperanan untuk menghantar mesej kepada audiens yang terdedah dan pasif. Kesan daripada situasi ini juga adalah secara langsung, terus dan cepat. Persoalannya, benarkah pengunaan teknologi komunikasi ini membawa kepada kesan positif sahaja? Bagi menjawab persoalan tersebut, kita hendaklah melihat daripada pandangan pessimis teknologi komunikasi dan masyarakat yang menyatakan bahawa kebebasan dan hak cipta akan terjejas melalui kewujudan teknologi.
Pelbagai unsur negatif seperti pornografi mudah didapati di laman sesawang seperti bahan bacaan, gambar, dan video. Begitu juga budaya Barat seperti “Black Metal”, “Punk”, “Gothic”, dan “Skin Head” dengan mudah menular dalam masyarakat khususnya remaja untuk meniru budaya demikian sehingga menghakis nilai-nilai moral masyarakat. Penipuan atau pemalsuan di internet pula kerap kali menjadikan golongan wanita sebagai sasaran. Sebagai contoh, apabila pasangan yang hanya berkenalan dalam laman sosial menghantar sistem pesanan ringkas (sms) sesama mereka untuk temu janji, pelbagai implikasi buruk tentunya menanti. Mereka mungkin ditipu dan ada juga yang telah menjadi mangsa rogol.
Kesimpulannya, penggunaan laman sosial melalui internet mempengaruhi corak kehidupan masyarakat di Malaysia khususnya kepada belia. Pandangan berkecuali dalam teknologi komunikasi dan masyarakat menyatakan bahawa baik dan buruk teknologi itu terpulang kepada cara penggunaannya dan konteks masyarakat itu sendiri. Penggunaan teknologi perlu diseimbangkan tanpa pengeksploitasian dalam masyarakat di Malaysia untuk kepentingan bersama.