Selasa, 16 Oktober 2012

Penggunaan internet dan implikasinya dalam kalangan belia

            
     Teknologi adalah sesuatu yang sangat luas definisinya dan boleh diletakkan sebagai satu konsep dalam kemajuan sesebuah negara atau individu. Lazimnya, ia dikaitkan dengan pembangunan dan penggunaan alatan, mesin, bahan dan proses untuk memudahkan kehidupan seharian manusia. Jika dilihat daripada pandangan Optimis mengenai teknologi komunikasi dan masyarakat, kemunculan Internet sebagai antara alat komunikasi utama dunia telah menjadikan ianya sebagai kaedah penyebaran maklumat yang sarat dengan maklumat berguna dan bermanfaat  sehingga mampu mewujudkan masyarakat yang seimbang. Namun begitu, kebebasan untuk menyebarkan sebarang maklumat yang juga dicipta oleh manusia itu menjadi semakin tidak terkawal berikutan kewujudan berjuta-juta laman web dalam masa yang singkat. Kesahihan maklumat juga kerap dipertikaikan.
Berdasarkan kajian 'Norton Online Living Report' (NOLR) yang dijalankan di Malaysia mengenai tabiat penggunaan internet di negara ini, para belia menghabiskan masa 16 jam seminggu melayari internet. Manakala, kajian yang dilakukan oleh Grunwald Associates LLC mendapati golongan ini menghabiskan hampir sembilan jam seminggu melakukan aktiviti dalam jaringan sosial ini. Berdasarkan statistik di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa penggunaan internet di Malaysia adalah bukan sesuatu yang asing di kalangan belia.
Internet merupakan medium interaksi  tanpa sempadan. Melaluinya, belia dapat menambah kenalan dari seluruh pelusuk dunia, bertukar pandangan dan berkongsi cerita mengenai negara dan budaya masing-masing. Secara tidak langsung, hal ini dapat memupuk semangat perpaduan dan keamanan sejagat kerana para pengguna dapat bertukar pengetahuan dan berkomunikasi. Dari persepektif positif, penggunaan internet menjimatkan masa,tenaga dan juga wang. Internet juga dilihat sangat berguna untuk tujuan pembelajaran. Sebagai contoh, e-Learning Univerisiti Sains Malaysia menyediakan platform bagi pelajarnya berinteraksi bersama pelajar lain semasa berada dibilik atau di kawasan lain.
            Penyampaian setiap satu mesej dalam media mampu mempengaruhi masyarakat tanpa mereka sedari, seperti Teori Jarum Suntikan (Hypodermic Needle/ Bullet). Media dianggap sebagai medium yang sangat berkuasa atau berpengaruh dan berperanan untuk menghantar mesej kepada audiens yang terdedah dan pasif. Kesan daripada situasi ini juga adalah secara langsung, terus dan cepat. Persoalannya, benarkah pengunaan teknologi komunikasi ini membawa kepada kesan positif sahaja? Bagi menjawab persoalan tersebut, kita hendaklah melihat daripada pandangan pessimis teknologi komunikasi dan masyarakat yang menyatakan bahawa kebebasan dan hak cipta akan terjejas melalui kewujudan teknologi.
Pelbagai unsur negatif seperti pornografi mudah didapati di laman sesawang seperti bahan bacaan, gambar, dan video. Begitu juga budaya Barat seperti “Black Metal”, “Punk”, “Gothic”, dan “Skin Head” dengan mudah menular dalam masyarakat khususnya remaja untuk meniru budaya demikian sehingga menghakis nilai-nilai moral masyarakat. Penipuan atau pemalsuan di internet pula kerap kali menjadikan golongan wanita sebagai sasaran. Sebagai contoh, apabila pasangan yang hanya berkenalan dalam laman sosial menghantar sistem pesanan ringkas (sms) sesama mereka untuk temu janji, pelbagai implikasi buruk tentunya menanti. Mereka mungkin ditipu dan ada juga yang telah menjadi mangsa rogol.
Kesimpulannya, penggunaan laman sosial melalui internet mempengaruhi corak kehidupan masyarakat di Malaysia khususnya kepada belia. Pandangan berkecuali dalam teknologi komunikasi dan masyarakat menyatakan bahawa baik dan buruk teknologi itu terpulang kepada cara penggunaannya dan konteks masyarakat itu sendiri. Penggunaan teknologi perlu diseimbangkan tanpa pengeksploitasian dalam masyarakat di Malaysia untuk kepentingan bersama.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan