Khamis, 29 November 2012

Belia dan Kemahiran dalam Teknologi Komunikasi


         
            Perkembangan dunia teknologi sememangnya tidak boleh dipisahkan dengan kehidupan sosial serta komunikasi kita setiap hari. Kemudahan dalam melakukan akses data dan fasiliti jaringan laman sosial menjadikan kita lebih mudah untuk berinteraksi. Kemudahan seperti Facebook dan Twitter memberikan kemudahan dalam untuk mendapatkan informasi, foto, video, dan aplikasi-aplikasi lain. Banyak kebaikan dan kemudahan yang kita perolehi daripada pembangunan teknologi ini. Sebagai contoh, teknologi menghasilkan mesin-mesin yang canggih dan dapat membantu manusia menjalankan kerja dan tanggungjawab mereka dengan lebih mudah. Semua kemudahan yang diberikan teknologi kepada kita bagaimanapun mempunyai impak negatif. Contohnya kelalaian belia terhadap pelajaran, kerja dan tanggungjawab. Setiap perkara mempunyai baik dan buruk termasuklah teknologi sendiri.


            Dalam kepesatan pembangunan teknologi, kita sebenarnya kekurangan kepakaran dalam bidang ini. Masyarakat khususnya belia yang mahir dan berkemahiran tinggi amat diperlukan bagi merealisasikan sebuah negara yang maju menjelang tahun 2020. Pelajar IPTA dan IPTS merupakan merupakan individu-individu yang memegang jumlah besar dalam peratus belia. Oleh sebab itu, kita sewajarnya mengambil kesempatan ini bagi melahirkan mereka yang cekap dalam bidang teknologi seterusnya menjadi tonggak kemajuan negara dalam bidang teknologi. Tidak dinafikan, rata-rata daripada golongan belia ini tidak mahu dan tidak berminat dalam bidang teknologi. Secara amnya, mereka hanya berminat untuk menjadi ‘pelanggan’ dan ‘pengguna’ teknologi sahaja. Walau bagaimanapun, tidak mustahil bagi Malaysia melahirkan belia yang terbilang dalam bidang ini.


              Menurut Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Mohd Harun Abdullah, misi kemajuan teknologi dapat dicapai melalui penambahan graduan jurusan sains dan teknologi pada setiap tahun. (The Borneo Post, 19 Julai 2012). Menurut beliau lagi, kepakaran yang ada bukan hanya setakat mencedok ilmu atau mengubahsuai sesuatu rekaan itu tetapi dalam mencipta, menambah dan memperbaharuhi. Hal ini demikian menunjukkan bahawa dalam usaha untuk melahirkan belia yang mahir dalam bidang teknologi, institut pengajian awam dan swasta perlu memberikan kerjasama dalam menolong negara menghasilkan para graduan yang cekap dalam bidang ini supaya mereka boleh membantu mencapai wawasan negara. Belia yang celik teknologi juga seharusnya menyumbang ke arah kemajuan teknologi negara agar Malaysia tidak ketandusan tenaga berkemahiran tinggi dalam bidang yang semakin pesat membangun iaitu bidang teknologi maklumat.   

Selasa, 27 November 2012

Pentingnya Privasi Kata Laluan


Kemudahan internet kini menjadi semakin meluas dan tidak terhad untuk melayari laman sesawang sahaja. Bak kata pepatah ‘tiap-tiap yang baik ada buruknya’, kemudahan tanpa batasan ini diiringi dengan ancaman penembusan dan kecurian kata laluan yang semakin teruk dan berleluasa.

Rata-rata pengguna berkongsi segala bentuk maklumat peribadi, gambar, video, lagu dan sebagainya di dalam laman tersebut. Malangnya, semakin banyak yang dikongsi, semakin terdedah seseorang itu terhadap kecurian identiti. Menerusi maklumat yang digodam, pencuri versi baru ini mampu menggunakan informasi tersebut untuk membuka akaun bank, memiliki kad kredit, memohon lesen memandu dan juga passport serta pelbagai jenayag siber yang lain. Kecurian identiti  ialah perbuatan khianat di mana penjenayah siber mencuri maklumat sulit  yang kemudiannya digunakan secara tidak sah bagi memperolehi perkhidmatan ataupun perkara yang tertentu.

            Pada ketika inilah kata laluan memainkan peranan paling penting. Kata laluan secara teknikalnya digunakan untrk melindungi maklumat sulit lantas membuatkan penjenayah siber sukar untuk mencuri maklumat. Namun pemilihan kata laluan haruslah dibuat dengan berhati-hati berikutan ia adalah aspek ketara bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa.

Perkembangan teknologi komunikasi ini telah banyak diperdebatkan dalam kalangan  sarjana yang membawa sama ada perspektif optimis mahupun pesimis. Hamelink antara sarjana yang mengatakan bahawa mitos masyarakat informasi yang dibawa oleh sarjana optimis adalah terpesong kerana telah menyamakan perkembangan teknologi dengan peningkatan taraf hidup manusia. (Hamelink, 1968: 12). Dengan berkembangnya internet pada hari ini seperti yang diketengahkan dalam bacaan Peter Golding dalam bacaan Worldwide Wedge: Division and Contradiction in the global information infrastructure, beliau menyatakan bahawa kehadiran internet telah mempengaruhi pelbagai faktor dalam hidup kita dan ia sebenarnya semakin menguatkan lagi pengaruh golongan kapitalis untuk mendominasi masyarakat secara tidak langsung. Dalam International Telecommunication Union press release menyatakan bahawa “The internet suffers from the problems often found in the resources that are in common ownership: potential misuse,security problems and lack of structure”.

Kesimpulannya, hal ini jelas membuktikan bahawa semakin berkembangnya internet dan teknologi, maka hal ini mampu mengundang lebih banyak masalah. Selain itu, muncul pihak yang cuba mengambil kesempatan dalam kesempitan yang dilihat kian meruncing dalam kalangan masyarakat yang didakwa homogeneous oleh sarjana-sarjana yang berpandangan dominan pluralis seperti Emilie Durkheim dan Talcott Parson. Masyarakat sebenarnya adalah sesuatu yang kompleks dan heterogenous untuk dirungkaikan. Keadaan ini akan memberikan impak yang negatif, antaranya tiadanya pengawasan terhadap pengaliran maklumat dan sekuriti dalam media global ini. Herbert Schiller antara sarjana yang memberikan rangkuman dalam isu perkembangan teknologi ini dengan menyatakan bahawa baik ataupun buruk penggunaan teknologi ini adalah bergantung kepada masyarakat kerana hanya mereka sahaja yang dapat menentukannya.

Isu Plagiat yang meruncingkan

              
               Plagiat menurut kamus dewan bahasa dan pustaka ialah menggunakan hasil karya, idea, penulisan orang lain untuk disiarkan kembali sebagai karya sendiri. Perkara ini seringkali terjadi dalam konteks pelajar universiti. Seringkali ia menjadi pilihan pelajar apabila tiba masa untuk menyiapkan tugasan terutamanya di saat akhir. Dengan kemudahan internet yang memudahkan pengaksessan maklumat di hujung jari pelajar, dilihat menggunakan teknologi menyalahi etika apabila seseorang individu menciplak hasil karya individu lain ke dalam tugasannya.

                Kualiti pelajar menjadi persoalan sekiranya isu plagiat tidak ditangani sebaiknya. Internet telah menjadi medium yang membantu pelajar dalam menyiapkan tugasan mereka. Namun begitu, isu plagiat hasil kerja yang diperolehi melalui teknologi media baru ini akan menjadikan kualiti kecemerlangan pelajar itu sebagai satu pertikaian. Kemudahan seperti penjimatan masa dan tenaga daripada maklumat di hujung jari disalah gunakan oleh pelajar tanpa memikirkan kesan jangka masa panjang kepada diri sendiri.

                Mengikut teori kebergantungan daripada bacaan “Approaches to theorizing international communication” tulisan Thussu, dikatakan bagaimana suatu keadaan mewujudkan dominasi dalam masyarakat. Bacaan ini telah membincangkan dari aspek sosial, politik dan ekonomi yang wujud di negara dunia ketiga dan kebergantungan kepada negara maju. Contohnya seperti yang dimajukan berkaitan perkembangan di Amerika Latin di bawah pengawasan Amerika Syarikat (AS).

                Menurut teori yang dimajukan, keadaan dan situasi plagiat dapat dikaitkan sebagai suatu kebergantungan kerana pelajar mengharapkan dengan kewujudan teknologi informasi itu mampu memudahkan kehidupan mereka. Namun begitu, setiap kebergantungan tidak membawa kepada aspek positif semata-mata. Daripada petikan akhbar Utusan Malaysia, isu ini dibincangkan dengan tajuk “Plagiat internet- Budaya baru ancam kecemerlangan pelajar”.  Datuk Ibrahim Ahmad Bajunid dalam petikan itu berkata sikap pelajar kurang membaca dan malas adalah perkara yang harus diberi perhatian. Ekoran daripada itu, pelajar gemar mengambil jalan mudah untuk memplagiat kerana mereka tidak perlu meluangkan masa membuat kajian bagi tugasan  yang diberikan.

                Plagiat juga dianggap sebagai perkara remeh dalam kalangan pelajar jika tiada sebarang tindakan yang dikenakan ke atas pelakunya. Namun begitu, perkara ini juga telah dilaporkan media. Menurut laporan Bernama bertarikh 2 Oktober 2003 menjelaskan implikasi yang akan diterima oleh individu dalam kes plagiat. Kesalahan yang kecil masih boleh diberikan amaran pada mulanya, namun jika kesalahan yang berat ia boleh menyebabkan seseorang digantung daripada universiti jika terbukti bersalah. Jelas di sini bahawa plagiat ialah salah satu kesalahan yang layak diberikan hukuman.

                Kesimpulannya, teknologi internet seharusnya menjadi medium yang membantu dan bukannya dijadikan alat kepada seorang pelajar bergantung sepenuhnya. Plagiat hanya menghadkan pemikiran suatu penulisan ilmiah terhad kepada pandangan bahan internet semata-mata tanpa wujud pemikiran serta analisis daripada pelajar.