Selasa, 20 November 2012

Jutawan Internet


Perniagaan atau pemasaran internet yang lebih dikenali sebagai Internet Marketing merupakan istilah umum bagi pelbagai jenis promosi ataupun jualan produk yang dilakukan melalui medium atau platform dalam laman sesawang secara talian. Sekiranya ada di antara individu tidak pernah menceburi bidang perniagaan sebelum ini, pasti individu tersebut akan menganggap perniagaan internet ini sebagai pelaburan internet dan skim cepat kaya yang bersifat penipuan. Namun begitu, internet sememangnya banyak membantu dunia perniagaan.

Perniagaan dalam internet ini merupakan antara perniagaan yang paling menguntungkan kerana secara tidak langsung kos fizikal dapat dikurangkan. Perniagaan internet ini boleh membuatkan seseorang itu menjadi jutawan. Hal ini berlaku apabila si pengusaha dapat mengiklankan perkhidmatan atau barang dalam ruang siber dan mendapat pulangan daripadanya. Mark Zuckerberg, Andrew Mason, Blake Ross, Naveen Selvadurai dan ramai lagi telah menggunakan teknologi sebagai landasan utama mereka untuk mecapai kejayaan. Dalam post kali ini, kami akan menulis artikel yang mempaparkan jutawan muda berasal dari Malaysia yang menggunakan teknologi sebagai batu lonjatan menuju ke kejayaan.

Memperoleh keuntungan lumayan hingga mampu bergelar jutawan pada usia muda menjadi impian setiap insan.Jika anda mengenali pengasas laman lelongan menerusi internet yang dikenali Ebay, Pierre Omidyar yang menjadi jutawan dalam usia belum pun mencecah 30 tahun. Berikutan kejayaan Omidyar jugalah mendorong anak muda tempatan lulusan sarjana muda reka cipta multimedia dari universiti Staffordshire, United Kingdom. Irfan Khairi, 28, menceburi perniagaan sendiri di internet yang membanggakan belia.

Menurut teori masyarakat massa yang menyatakan manusia adalah seimbang dan bergerak mengikut kapasiti diri tanpa mewujudkan masalah. Teori ini dipelopori oleh Emilie Durkheim dan Talcott Parson ini sebenarnya tidak melihat struktur masyarakat yang lebih besar dan homogeneous. Dalam hal ini, dapat kita lihat keadaan yang dianggap seimbang dalam kalangan masyarakat khasnya golongan belia untuk mengakses segala maklumat melalui internet dan mengambil peluang terhadap peluang itu. Namun, kesilapan yang major dalam teori ini adalah tidak mendasari struktur realiti masyarakat yang  heterogenous dan kompleks.

Kesimpulannya, kemudahan internet sebenarnya memberi potensi yang cukup besar dalam memperluaskan perniagaan. Perniagaan seperti ini amat sesuai diceburi golongan siswazah yang sedang menganggur kerana mereka mempunyai pelbagai kepakaran dalam bidang yang boleh diniagakan menerusi internet, asalkan mereka celik IT, mempunyai peralatan komputer dan kemudahan internet. Oleh itu, pihak kerajaan haruslah memantau kebaikan teknologi ini dan berusaha mengadakan pelbagai program atau aktiviti yang mampu melahirkan belia yang berjaya dalam bidang teknologi ini. Namun begitu, perniagaan melalui internet ini memerlukan usaha yang gigih selain daripada teknik serta ilmu pemasaran yang betul seperti mana perniagaan secara talian yang lain.

Penggunaan Teknologi dalam Golongan Belia Luar Bandar

         Maimunah (1990) mendefinisikan pembangunan luar bandar sebagai satu proses meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar melalui penambahbaikkan dalam aspek pembangunan hidup  manusia secara keseluruhannya. Dalam konteks teknologi pula, teknologi dalam kehidupan mencakupi suatu konsep yang luas. Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) merupakan suatu unsur diperlukan  dalam kerja-kerja pemprosesan data. Menurut Rogers pula, (dalam Seels, Richey,1994: 12), teknologi adalah suatu langkah rancangan instrumental untuk memperkecil keraguan mengenai hubungan sebab akibat dalam mencapai hasil yang diharapkan. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak kerajaan bagi memastikan masyarakat luar bandar dapat menikmati teknologi maklumat masa kini agar mereka tidak ketinggalan dalam menulusuri arus pemodenan.

Pembangunan luar bandar ini sebenarnya bertujuan membawa masyarakat luar bandar yang masih ketinggalan ke dalam proses pembangunan masa kini, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastuktur dan ekonomi. Pelan pembangunan ini lebih memberi penekanan kepada aspek sumber manusia, ekonomi serta menaiktaraf kemudahan infrastruktur. Perancangan terkini yang telah dirangka ialah menekankan keutamaan ‘empowerment’ masyarakat luar bandar, bersifat dinamik dan mapan, serta berupaya menghadapi cabaran masa hadapan dengan mencapai status ekonomi yang di  peringkat nasional.

     Teori  yang diutarakan oleh Marxist menerangkan bagaimana penggunaan  menganggap bahawa proses pembangunan dunia ketiga perlu dikaji berpandukan keadaan yang berlaku di Barat. Teori ini disinonimkan dengan proses pembangunan golongan belia di luar bandar. Di barat golongan yang lebih berkuasa ini akan memunggah keluar sumber-sumber utama seperti sumber modal dan guna tenaga untuk kepentingan mereka sendiri (Frank, 1969 ; Leys, 1975). Hal ini menyebabkan golongan yang lemah seperti penduduk desa akan tertindas. Teori ini juga menekankan perlunya usaha untuk mengurangkan ketaksamaan dan ketidakseimbangan ekonomi yang telah wujud akibat kawalan oleh golongan yang lebih berkuasa (Long , 1977: 3) .

Pendekatan teori marxist juga menyatakan bahawa dari segi ekonomi , politik dan budaya sektor desa bergantung kepada golongan metropolis yang lebih berkuasa . Hal ini menyebabkan golongan minoriti yang umumnya petani akan terpisah dan bergantung kepada golongan majoriti yang memonopoli kuasa serta sumber ekonomi (Rahimah Aziz, 1989 :198,199). Teori ini dapat disamakan dengan keadaan masyarakat luar bandar yang bandar yang masih lagi mundur dan masih lagi bergantung kepada kawasan bandar untuk mendapatkan keperluan-keperluan penting seperti penggunaan teknologi ICT.

Secara kesimpulannya , pembangunan luar bandar amat penting agar masyarakat luar bandar tidak terpinggir dan ketinggalan berbanding masyarakat bandar. Hal ini juga dapat menjamin masa depan generasi masa hadapan penduduk luar bandar. Oleh itu, semua pihak haruslah melakukan perubahan yang positif terhadap golongan belia luar bandar supaya tidak lagi dianggap golongan yang pasif dan mampu mengerakkan pembangunaan dan pemodenan menerusi pengaplikasian penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian mereka.