Selasa, 30 Oktober 2012

Gajet dan belia



Apakah yang dimaksudkan dengan “Gajet”?  Gajet merupakan sebuah inovasi teknologi baru yang mempunyai kemampuan yang lebih baik dalam bentuk terkini, moden dan menarik. Gajet juga memiliki tujuan dan fungsi lebih praktis dan lebih bermanfaat. Menurut Martin J. Osborne (2001), gajet juga dikenali sebagai gizmos. Gajet acap kali dikaitkan sebagai sebuah alatan yang bersifat pintar.  Secara umumnya, gajet adalah berkaitan dengan alat dan teknologi kecil yang memiliki fungsi khusus, tetapi sering dikatakan sebagai sebuah barang elektronik baru.

Kewujudan teknologi yang canggih ini menjadikan kehidupan manusia zaman kini lebih maju dan semakin mendapat tempat di hati golongan muda yang sentiasa pantas mengejar teknologi selaras dengan kemajuan teknologi dunia masa kini. Gajet-gajet ini walaupun harganya agak mahal tetapi belia sanggup membelinya kerana minat yang mendalam terhadap gajet tersebut. Namun, belia haruslah mengkaji secara lanjut mengenai spesifikasi peralatan elektronik atau gajet masa kini. Meskipun faktor kemampuan kadang kala menjadi penghalang, namun begitu hal ini tidak membataskan keinginan belia untuk memiliki gajet-gajet hebat yang bersesuaian dengan cita rasa dan keperluan diri mereka.

Kesimpulannya, perkembangan teknologi ini tidak dihasilkan dalam konteks yang kosong. Hal ini bermakna teknologi adalah tertakluk kepada siapa yang memiliki dan mengawal sumber seperti yang dibicarakan oleh Golding dan Murdock. Namun begitu, penggunaan teknologi ini sebenarnya bergantung kepada kebijaksanaan pengguna itu sendiri seperti yang dibahaskan oleh Ithiel De Solo dan Everett Rogers seperti dalam pandangan berkecuali yang merupakan salah satu antara pandangan  terhadap perkembangan teknologi. Berbalik dengan isu yang diketengahkan, secara umumnya kita haruslah melihat bagaimana sesuatu teknologi itu mampu mempengaruhi golongon-golongn tertentu khasnya para belia untuk berusaha memiliki sesuatu teknologi. Hal ini jelas menunjukkan bahawa sesiapa yang mempunyai sumber dan kuasa mampu memiliki teknologi tersebut dan kegunaannya adalah bergantung kepada kebijaksanaan pengguna.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan