Selasa, 6 November 2012

Ketagihan Blog dalam Kalangan Belia



            Golongan belia merupakan pemacu Negara pada masa akan datang. Menurut Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668),  belia ialah individu yang berumur tidak kurang daripada usia 15 tahun dan tidak melebihi usia 40 tahun. Melalui aspek arus globalisasi, anjakan paradigma dalam teknologi komunikasi mampu memberi impak positif mahupun negatif dalam kehidupan belia.

Antara teknologi komunikasi baru ialah internet yang menonjolkan blog sebagai satu tarikan kepada masyarakat. Menurut Dominick di dalam bukunya The Dynamic of Mass Communication, ‘blog merupakan  singkatan kepada web-log yang berbentuk jurnal atau diari di mana pengguna boleh menulis apa sahaja yang mereka mahu seperti berita, politik, sukan, muzik dan sebagainya. Blog merupakan salah satu contoh perkhidmatan Web 2.0.


Penggunaannya semakin meluas. Terdapat perisian percuma dalam internet untuk sesiapa sahaja menghasilkan blog masing-masing. Blog mengandungi informasi tentang diri sendiri, gambar dan hasil kreativiti, pendapat politik serta pautan kepada laman web lain.

     Salah satu fungsi blog adalah mewujudkan ruang sfera awam dalam alam maya yang mencipta budaya komunikasi dua hala tanpa perlu bersemuka Hal ini dapat dijelaskan dengan pengggunaan laman sosial seperti blog, twitter dan facebook yang membolehkan mereka bebas untuk melontarkan pandangan mereka serta keinginan mereka. Mereka juga berpeluang mengambil bahagian dalam proses demokrasi.

‘Any citizen can be a reporter. [The modem] lets you cover the world’
                                         Matt Drudge at a 1998 National Press Club Forum

Blog boleh membentuk sfera awam. Konsep sfera awam yang diasaskan oleh  Jurgen Habermas bermaksud ruang bagi orang ramai yang tidak berkuasa atau tidak mempunyai kuasa berkumpul sebagai public.Secara spesifik, sfera awam bermaksud ruang untuk orang ramai berkumpul secara bebas daripada institusi negara atau kegiatan ekonomi bagi membolehkan mereka berdebat secara rasional dan kritikal serta membuat keputusan tentang kepentingan mereka.
                                                                                                    
‘The internet makes us all journalists, broadcasters, columnists, commentators and critics’.
                                           Lawrence K.Grossman, Columbia Journalism Review

Menurut sarjana Habermas di dalam Curren, beliau mengatakan bahawa kita memerlukan satu sfera awam yang demokratik iaitu satu ruang untuk bertukar pandangan tentang demokrasi dalam negara. Pandangan Habermas ini berasaskan kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Benhabib di dalam Curren, yang menyatakan bahawa mereka yang mendapat kesan daripada norma sosial dan keputusan politik kolektif mempunyai suara di dalam pembentukan, penggubalan dan pengunaannya.Namun begitu, kebebasan bersuara dan aliran bebas informasi serta sfera awam yang  dimajukan oleh teknologi komunikasi telah memberi impak negatif dalam pembangunan diri belia.






         Menurut Husain Mohamed (1977) di dalam keratan akhbar Berita Harian, belia mempunyai beberapa sifat seperti sifat mencabar, resah gelisah serta memiliki kecenderungan menentang ‘establishment’ dan ‘status quo’ masyarakat. Implikasi buruk boleh tercetus untuk mereka bersifat antisosial dan radikal. Justeru, belia adalah golongan yang boleh digunakan sama ada untuk tujuan kebaikan atau sebaliknya. Golongan-golongan belia yang bersifat antisosial dan radikal ini cuba mencabar status quo dengan menggunakan blog sebagai wadah bagi menyampaikan pandangan atau ideologi kritis. 

Sorotan sejarah: mengenai pemikiran Kritis

            Ideologi kritis merupakan pendekatan yang didukung oleh pandangan Karl Marx. Pandangan yang menyatakan bahawa media memupuk pandangan mereka yang berkuasa atau ideologi dominan. Sebabagai contoh, pandangan kapitalis, (dalam konteks ini yang dimaksudkan ialah golongan pemerintah) pandangan ini diasaskan kepada pergolakan dalam sistem kelas. Secara umumnya, pergolakan antara kelas berada dan kelas bawahan  membawa kepada pemupukan ideologi dominan yang harus dipegang oleh masyarakat. Kesannya, penindasan oleh mereka yang berkuasa berlaku ke atas mereka yang tidak mempunyai kuasa.

Peperangan ideologi antara blogger-blogger yang mempunyai aliran pemikiran yang berbeza iaitu optimis dan radikal menyebabkan blog dijadikan landasan bagi mencipta pergelutan menggunakan ayat sebagai senjata. Golongan belia yang tidak menyenangi tampuk pemerintahan negara menggunakan blog untuk menyebarkan informasi-informasi mengenai salah laku pemerintah. Mereka dianggap memfitnah pemerintah dan dikenakan tindakan undang-undang.

Hal ini kerana informasi tersebut berbau hasutan dan tertakluk kepada Akta Hasutan 1948. Antara blogger yang pernah ditahan ialah Raja Petra Kamaruddin. Begitu juga dengan Syed Akbar Ali, blogger yang baru-baru ini didakwa menjadi bukti kepada semua bahawa ‘blogger’ tidak kebal dari undang-undang. (sumber: rencana di dalam akhbar Kosmo) faktor anonimiti iaitu ketanpanamaan meyebabkan ‘blogger’ dalam kalangan belia sukar dijejaki.

Kesimpulannya, teknologi komunikasi seperti blog, mempunyai impak terhadap dunia belia dan negara. Golongan belia seharusnya menggunakan media dengan bijak dan tidak terpengaruh dengan mana-mana ideologi. Hal ini adalah kerana belia merupakan generasi yang akan mentadbir negara kelak.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan