Khamis, 29 November 2012

Belia dan Kemahiran dalam Teknologi Komunikasi


         
            Perkembangan dunia teknologi sememangnya tidak boleh dipisahkan dengan kehidupan sosial serta komunikasi kita setiap hari. Kemudahan dalam melakukan akses data dan fasiliti jaringan laman sosial menjadikan kita lebih mudah untuk berinteraksi. Kemudahan seperti Facebook dan Twitter memberikan kemudahan dalam untuk mendapatkan informasi, foto, video, dan aplikasi-aplikasi lain. Banyak kebaikan dan kemudahan yang kita perolehi daripada pembangunan teknologi ini. Sebagai contoh, teknologi menghasilkan mesin-mesin yang canggih dan dapat membantu manusia menjalankan kerja dan tanggungjawab mereka dengan lebih mudah. Semua kemudahan yang diberikan teknologi kepada kita bagaimanapun mempunyai impak negatif. Contohnya kelalaian belia terhadap pelajaran, kerja dan tanggungjawab. Setiap perkara mempunyai baik dan buruk termasuklah teknologi sendiri.


            Dalam kepesatan pembangunan teknologi, kita sebenarnya kekurangan kepakaran dalam bidang ini. Masyarakat khususnya belia yang mahir dan berkemahiran tinggi amat diperlukan bagi merealisasikan sebuah negara yang maju menjelang tahun 2020. Pelajar IPTA dan IPTS merupakan merupakan individu-individu yang memegang jumlah besar dalam peratus belia. Oleh sebab itu, kita sewajarnya mengambil kesempatan ini bagi melahirkan mereka yang cekap dalam bidang teknologi seterusnya menjadi tonggak kemajuan negara dalam bidang teknologi. Tidak dinafikan, rata-rata daripada golongan belia ini tidak mahu dan tidak berminat dalam bidang teknologi. Secara amnya, mereka hanya berminat untuk menjadi ‘pelanggan’ dan ‘pengguna’ teknologi sahaja. Walau bagaimanapun, tidak mustahil bagi Malaysia melahirkan belia yang terbilang dalam bidang ini.


              Menurut Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Mohd Harun Abdullah, misi kemajuan teknologi dapat dicapai melalui penambahan graduan jurusan sains dan teknologi pada setiap tahun. (The Borneo Post, 19 Julai 2012). Menurut beliau lagi, kepakaran yang ada bukan hanya setakat mencedok ilmu atau mengubahsuai sesuatu rekaan itu tetapi dalam mencipta, menambah dan memperbaharuhi. Hal ini demikian menunjukkan bahawa dalam usaha untuk melahirkan belia yang mahir dalam bidang teknologi, institut pengajian awam dan swasta perlu memberikan kerjasama dalam menolong negara menghasilkan para graduan yang cekap dalam bidang ini supaya mereka boleh membantu mencapai wawasan negara. Belia yang celik teknologi juga seharusnya menyumbang ke arah kemajuan teknologi negara agar Malaysia tidak ketandusan tenaga berkemahiran tinggi dalam bidang yang semakin pesat membangun iaitu bidang teknologi maklumat.   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan