Selasa, 27 November 2012

Isu Plagiat yang meruncingkan

              
               Plagiat menurut kamus dewan bahasa dan pustaka ialah menggunakan hasil karya, idea, penulisan orang lain untuk disiarkan kembali sebagai karya sendiri. Perkara ini seringkali terjadi dalam konteks pelajar universiti. Seringkali ia menjadi pilihan pelajar apabila tiba masa untuk menyiapkan tugasan terutamanya di saat akhir. Dengan kemudahan internet yang memudahkan pengaksessan maklumat di hujung jari pelajar, dilihat menggunakan teknologi menyalahi etika apabila seseorang individu menciplak hasil karya individu lain ke dalam tugasannya.

                Kualiti pelajar menjadi persoalan sekiranya isu plagiat tidak ditangani sebaiknya. Internet telah menjadi medium yang membantu pelajar dalam menyiapkan tugasan mereka. Namun begitu, isu plagiat hasil kerja yang diperolehi melalui teknologi media baru ini akan menjadikan kualiti kecemerlangan pelajar itu sebagai satu pertikaian. Kemudahan seperti penjimatan masa dan tenaga daripada maklumat di hujung jari disalah gunakan oleh pelajar tanpa memikirkan kesan jangka masa panjang kepada diri sendiri.

                Mengikut teori kebergantungan daripada bacaan “Approaches to theorizing international communication” tulisan Thussu, dikatakan bagaimana suatu keadaan mewujudkan dominasi dalam masyarakat. Bacaan ini telah membincangkan dari aspek sosial, politik dan ekonomi yang wujud di negara dunia ketiga dan kebergantungan kepada negara maju. Contohnya seperti yang dimajukan berkaitan perkembangan di Amerika Latin di bawah pengawasan Amerika Syarikat (AS).

                Menurut teori yang dimajukan, keadaan dan situasi plagiat dapat dikaitkan sebagai suatu kebergantungan kerana pelajar mengharapkan dengan kewujudan teknologi informasi itu mampu memudahkan kehidupan mereka. Namun begitu, setiap kebergantungan tidak membawa kepada aspek positif semata-mata. Daripada petikan akhbar Utusan Malaysia, isu ini dibincangkan dengan tajuk “Plagiat internet- Budaya baru ancam kecemerlangan pelajar”.  Datuk Ibrahim Ahmad Bajunid dalam petikan itu berkata sikap pelajar kurang membaca dan malas adalah perkara yang harus diberi perhatian. Ekoran daripada itu, pelajar gemar mengambil jalan mudah untuk memplagiat kerana mereka tidak perlu meluangkan masa membuat kajian bagi tugasan  yang diberikan.

                Plagiat juga dianggap sebagai perkara remeh dalam kalangan pelajar jika tiada sebarang tindakan yang dikenakan ke atas pelakunya. Namun begitu, perkara ini juga telah dilaporkan media. Menurut laporan Bernama bertarikh 2 Oktober 2003 menjelaskan implikasi yang akan diterima oleh individu dalam kes plagiat. Kesalahan yang kecil masih boleh diberikan amaran pada mulanya, namun jika kesalahan yang berat ia boleh menyebabkan seseorang digantung daripada universiti jika terbukti bersalah. Jelas di sini bahawa plagiat ialah salah satu kesalahan yang layak diberikan hukuman.

                Kesimpulannya, teknologi internet seharusnya menjadi medium yang membantu dan bukannya dijadikan alat kepada seorang pelajar bergantung sepenuhnya. Plagiat hanya menghadkan pemikiran suatu penulisan ilmiah terhad kepada pandangan bahan internet semata-mata tanpa wujud pemikiran serta analisis daripada pelajar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan