Bagai isi dengan kuku. Belia dan teknologi sememangnya tidak dapat dipisahkan. Ledakan maklumat
dan perkembangan teknologi menjadikan belia semakin peka kepada arus globalisasi. Golongan belia atau
generasi Y telah menjadikan teknologi sebagai platform utama untuk mereka
berkongsi, mencari maklumat dan bersosial dengan masyarakat. Laman web sosial
seperti facebook, blog, dan twiter menjadi pilihan popular dalam kalangan
belia.
Menurut akhbar Berita Harian, seramai 60,000 orang pelajar yang juga tergolong
sebagai belia telah dikesan mengalami
ketagihan melayari laman sesawang Facebook
yang bermaksud selain daripada aktiviti sekolah, mereka memilih untuk
menghabiskan masa dengan melayari internet. Laporan akhbar Berita Harian bertarikh 15 Ogos 2010 pula menyatakan, ketagihan internet dapat menjejaskan tahap kesihatan
dan fizikal individu dewasa. Ketagihan ini akan menggangu proses pergaulan
sosial dengan persekitaran terutamanya keluarga. Hubungan antara keluarga dan
remaja tersebut akan menjadi renggang kerana kurangnya komunikasi antara
mereka. Golongan belia kini tidak menyedari bahawa internet telah mnguasai
mereka daripada zaman kanak-kanak sehingga dewasa. Syarikat Keselamatan Internet Antarabangsa, Norton, yang telah
melakukan kajian terhadap penggunaan internet bimbang terhadap hasil kajian mereka, iaitu purata kanak-kanak melayari
internet dalam masa sebulan ialah 64 jam.
Kewujudan gajet memberi impak yang besar
kepada belia khususnya penuntut Institut pengajian tinggi (IPT). Contoh
terdekat ialah penggunaan telefon pintar yang menjadi keperluan untuk untuk berkomunikasi.
Belia sanggup menghabiskan wang semata-mata untuk mencapai kepuasan diri
sendiri iaitu untuk menunjuk-nunjuk berbanding sebagai keperluan. Contohnya telefon
pintar Blackberry, gajet ini membuatkan
pengguna berasa bangga apabila menggunakannya. Tidak hairanlah mereka
menggunakan wang pengajian mereka untuk membeli barangan tersebut, menurut Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM)
Prof Madya Dr. Mohd Fadzli Che Din, remaja bertindak agresif apabila dihalang
menggunakan kemudahan ‘online’. Selain itu, mereka juga sanggup mencuri
sekiranya tidak mempunyai wang untuk memenuhi keperluan mereka.
Bukan itu sahaja, teknologi yang canggih
telah menjadikan belia lalai dalam menggunakannya secara berhemah. Contohnya,
penggunaan kamera telefon bimbit. Ada
dalam kalangan belia yang menggunakan kamera tersebut untuk merakam aksi-aksi
yang pelik dan lucah lalu dimuatnaik dalam laman web seperti Youtube. Kadangkala, kemudahan teknologi
sebegini juga dapat menimbulkan jenayah. Remaja yang terlibat dengan pergaulan
bebas menjadikan video-video yang dirakam ini sebagai sumber kewangan. Aksi-aksi
ranjang yang dimuatnaik di laman Youtube
dapat ditonton di seluruh dunia. Perkara ini dapat dikaitkan dengan teori yang
dikemukakan oleh Albert Bandura mengenai keganasan kanak-kanak, manusia
cenderung melakukan perkara yang dilihat melalui mata kasar. Belia yang suka
mencuba perkara baru cenderung untuk melakukan perkara tersebut. Buktinya,
menurut Effendy Ibrahim, Ketua Urusan Pengguna Kawasan Asia Selatan Symantec,
empat daripada lima orang belia mengakses barang haram atau tidak berlesen. Mereka
melayari sesuatu di luar batasan tanpa
sempadan. Menurut kajian mereka melayari aktiviti yang dikategorikan
berfrekuensi tinggi iaitu video iaitu 90%, rangkaian sosial 89% dan muat turun
fail sebanyak 91%.
Selain itu, belia yang lalai dalam
menggunakan teknologi telah menyebabkan berlakunya pembaziran masa dan elektrik.
Hal ini terjadi kerana pengguna akan memasang alatan seperti komputer selama
berjam-jam untuk bermain game dan
melayari internet. Kebarangkalian untuk mendapatkan prestasi yang rendah juga
akan berlaku akibat terlalu leka dengan internet. Di samping itu, kesihatan
mereka juga terabai. Terdapat segelintir belia yang melayari internet sehingga
lupa untuk makan lalu mengakibatkan terjadinya penyakit seperti gastrik dan
insomnia atau sukar tidur.
Kesimpulannya, kecanggihan teknologi
sememangya memudahkan semua pihak untuk menjalankan kehidupan seharian namun
dalam masa yang sama teknologi menimbulkan kesan buruk kepada sesetengah pihak.
Golongan belia perlu dijaga kerana mereka merupakan aset negara yang akan
menerajui kepmpinan Negara pada masa hadapan. Terdapat pepatah yang mengatakan
gambaran remaja kini merupakan gambaran negara pada masa akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan