Khamis, 6 Disember 2012

Adakah fungsi sebenar teknologi komunikasi hilang?




Struktur teknologi komunikasi berkembang pesat dengan pelbagai bentuk yang wujud dan dikatakan mampu mempengaruhi masyarakat secara langsung dan tidak langsung pada masa hadapan. Walaubagaimanapun, ia dikatakan membawa kebaikan kepada golongan kapitalis. “Start today to realise the future- the internet is here and is happening now, capitalise on the future today”, itulah penyataan yang dikeluarkan dalam periklanan di United Kingdom financial press pada bulan Mac tahun 1996 yang membuktikan bahawa teknologi komunikasi akan membawa kebaikan kepada golongan kapitalis kelak.


Kerelevanan itu mungkin benar tetapi melalui teknologi komunikasi juga, masyarakat berkebolehan untuk menghubungi keluarga, orang tersayang atau sahabat yang berada di perantauan. Daripada berkomunikasi secara interpersonal masyarakat boleh berkomunikasi secara global. artikel dalam Berita Harian bertarikh 15 oktober 2012 bertajuk “Internet, Maklumat dan Anda” ada memperkatakan bahawa internet boleh digunakan untuk menyampaikan maklumat serta menjimatkan masa yang memudahkan kehidupan seharian seperti menguruskan soal perbankan, perbayaran bil-bil dan sebagainya. Penggunaan teknologi komunikasi semakin meluas terutamanya dalam kalangan belia kesan daripada hadirnya telefon pintar 3G.

Bagi melihat dengan lebih jelas mengenai peranan teknologi komunikasi ini, teori Difusi Inovasi dapat menjelaskan proses sebuah inovasi dikomunikasikan melalui pelbagai saluran dan pada jangka waktu tertentu dalam sebuah sistem sosial. Teori yang dipopularkan oleh Everett Rogers pada tahun 1964 melalui bukunya yang berjudul Diffusion of Innovations ini menyatakan bahawa idea dan teknologi boleh tersebar sehingga membentuk satu budaya yang mungkin boleh mengubah masyarakat. Tetapi adakah perubahan inovasi ini dapat digunakan sepenuhnya dan mempunyai kebaikan di dalamnya kepada masyarakat? Adakah fungsi teknologi komunikasi dapat menunjukkan demokrasi dalam masyarakat? Apabila dilihat sesetengah belia sering kali menggunakan teknologi ini untuk mengkritik seseorang melalui laman sosial atau blog.


Melihat bahawa setiap inovasi dalam teknologi komunikasi sebagai sesuatu yang positif dan perlu diterima oleh masyarakat yang menginginkan perubahan. Namun platform ini dilihat mempunyai potensi penyalahgunaan, masalah keselamatan dan kekurangan struktur dari segi penglibatan seperti yang dikatakan dalam  International Telecommunication Union press release pada bulan oktober 1995, “The internet suffer from the problem often found in resource that are in common ownership; potential misuse, security problem and a lack of structure”.

Kesimpulannya, teknologi komunikasi membawa kebaikan dari segi siapa dan tujuan menggunakannya. Teknologi komunikasi berkembang ini membawa kebaikan tetapi apakah gunanya sekiranya sesetengah tempat atau masyarakat tidak berkebolehan untuk menikmatinya. Adakah ini inovasi yang menunjukkan keseimbangan? Seharusnya kerajaan atau pihak pemerintah memikirkan satu cara yang membolehkan golongan itu berkemampuan untuk turut dalam perkembangan teknologi komunikasi. Selain itu, masyarakat terutamanya golongan belia haruslah bijak menggunakan teknologi komunikasi untuk sesuatu yang positif sebagai satu platform untuk mengkritik atau membincang sesuatu secara kritis. Jurgen Habermas percaya bahawa utnuk mengembangkan sebuah masyarakat demokratik melalui pemikiran logik dan amalan berhujah bagi menggalakkan wacana.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan