Selasa, 4 Disember 2012

Belia dan Komunikasi Tanpa Sempadan


         Belia dan komunikasi tanpa sempadan tidak dapat dipisahkan lagi sejak memasuki alaf 21. Komunikasi tanpa sempadan secara asasnya ialah penggunaan media massa iaitu internet yang merentasi negara. Menurut satu kajian yang dilakukan oleh Durlacher menunjukkan lelaki golongan pertengahan berumur 25 hingga 34 tahun merupakan kumpulan pengguna terbesar internet (Golding, P, 1996:141). Ini membuktikan internet merupakan aspek yang penting dalam kehidupan terutamanya golongan belia walaupun golongan lelaki yang mendominasi penggunaannya. Antara penggunaan medium internet yang popular dalam kalangan belia seperti facebook, email, dan skype.

Tahap penggunaan internet di Malaysia juga semakin popular. Menurut IDC Malaysia, Malaysia mencatatkan bilangan pengguna internet sebanyak 4.8 juta pada tahun lepas. Ia meningkat disebabkan sebagai alat atau medium komunikasi, pembelajaran, hiburan dan perniagaan yang membawa perubahan besar dalam kehidupan.

Sebagai contoh kepada para pelajar dan pendidik, penggunaan internet akan memudahkan mereka mendapatkan bahan-bahan pembelajaran termasuk untuk tugasan sekolah. Aplikasi seperti e-mel, pembelajaran dalam talian seperti yang ditawarkan Portal Pendidikan Utusan, perpustakaan digital dan sebagainya hanya boleh diperkenalkan melalui Internet. Seorang pelajar kini boleh melayari beribu-ribu perpustakaan digital di seluruh dunia dalam mendapatkan maklumat mengenai pembelajaran mereka dengan hanya perlu duduk di hadapan komputer.

Walau bagaimanapun, penggunaan internet dalam kalangan belia juga mempunyai keburukan iaitu turut melibatkan jenayah. Contohnya terdapat juga belia yang menggunakan medium internet sebagai salah satu cara untuk mengakses video-video lucah, penggunaan bahasa rojak di laman sosial, penggodaman dan sebagainya.

Bagi mengkaji kesan media massa internet ini terhadap golongan belia, teori pembelajaran sosial yang dipelopori oleh Bandura sesuai digunakan. Teori ini amat berguna dalam menganalisis kemungkinan kesan keganasan televisyen, tetapi ia juga merupakan teori umum pembelajaran yang boleh digunakan untuk bahagian lain kesan media massa. Teori pembelajaran sosial mengakui bahawa manusia boleh mendapat manfaat daripada pemerhatian dan pengalaman. (Severin, W. J, and Tankard Jr, J. W, 1997: 313). Teori ini dapat melihat hasil daripada pemerhatian dan pengalaman daripada penggunaan internet dalam kalangan belia sama ada ke arah kebaikan atau keburukan.

Selain daripada itu, kajian yang dilakukan oleh Robiah Sidin dan Nor Sakinah Mohamad (2002) masyarakat Malaysia terutama belia telah tersedia menghadapi era ICT dan yakin akan penggunaannya sebagai alat komunikasi dan ilmu pengetahuan yang boleh membawa kepada pembaharuan dan pembinaan tamadun ilmu, budaya ICT belum merentasi semua golongan masyarakat. Untuk membudayakan ICT dalam kalangan belia, adalah mustahak mereka diberi galakan dan pengukuhan di rumah sebagai peneguhan kepada asas-asas yang dipelajari di sekolah.

Kesimpulannya ialah tanpa pembangunan, bilangan pengguna internet seperti belia tidak akan meningkat. Pembangunan adalah satu proses perubahan daripada tahap yang kurang maju kepada tahap yang lebih maju. Perkembangan internet di Malaysia juga berkembang pesat dan semakin membangun dari masa ke masa. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan