Selasa, 4 Disember 2012

Belia, Teknologi dan Hubungan Interpersonal


Kebelakangan ini, revolusi teknologi baharu yang membawa kepada kewujudan internet telah membawa kepada inovasi dalam dunia belia termasuklah dunia sosial mereka. Rata-rata daripada golongan belia memiliki pelbagai akaun peribadi alam maya contohnya Facebook, Yahoo Messenger, Skype dan macam-macam lagi. Kehidupan peribadi mereka khususnya berkenaan dengan privasi, persahabatan dan percintaan telah diinovasi kepada satu tingkat yang lebih mudah antaranya ialah temujanji dalam talian atau "dating online".

Pelbagai aplikasi yang terdapat dalam talian yang mengurangkan batasan sempadan komunikasi antara belia. Contohnya aplikasi Skype yang membolehkan belia berbual tanpa perlu menaip kerana interaksi antara muka ke muka dapat dilakukan. Senario ini telah membawa kepada jalinan hubungan interpersonal kesan daripada penciptaan teknologi media baru.

Namun begitu, dalam melayari kemudahan teknologi komunikasi untuk hubungan interpersonal, belia perlu berwaspada. Terdapat pelbagai kesan buruk yang menanti. Contohnya, isu yang dilaporkan Utusan Malaysia, 10 Julai 2010, oleh Suffian Abu Bakar, Mudahnya terperangkap helah ‘Awang Hitam’. Dalam tempoh enam bulan sahaja, sejumlah 83 kes 'tipu bungkusan'  (dadah) dilakukan oleh warga Afrika. Jumlah ini bukan sedikit dan ia sememangnya perlu difikirkan oleh semua.

Teknologi baru sememangnya membolehkan peluang untuk hubungan terjalin antara individu yang tidak pernah berjumpa. Bukan itu sahaja, teknologi ini dikatakan telah menjadi satu platform untuk belia membina keyakinan diri dengan membentuk personaliti yang diinginkan dalam media baru. Namun, ia juga menjadi satu perkara yang boleh membawa kepada perbezaan sikap yang ketara dalam kalangan belia hari ini kerana perbezaan antara dunia yang mereka jalani dan dunia yang mereka bentuk. Perkara ini sememangnya akan mempengaruhi hubungan interpersonal dalam diri belia.

Sebagai contoh teknologi yang membina komunikasi ialah, laporan dalam Utusan Malaysia, 5 Mac 2012, artikel yang ditulis oleh Tengku Khalidah Tengku Bidin, Cinta “Kekasih Muda” Azza. Pertemuan semula antara selebriti tempatan, Azza Elite dengan suaminya di laman sosial Facebook selepas terserempak di sebuah majlis dan selepas itu, persahabatan semakin erat dan mereka berkahwin.

Namun begitu, media baru seingkali dijadikan alasan penipuan yang berlaku. Adakah tanpa media baru, iaitu internet, penipuan dalam hubungan interpersonal ini tidak akan berlaku? Begitu juga dengan kewujudan media baru yang membolehkan persahabatan biasa berkembang menjadi persahabatan istimewa. Begitu juga dengan perhubungan interpersonal yang tercipta melalui media baru. Adakah tanpa media baru, keinginan untuk mengenali antara satu sama lain itu tidak akan tercetus?

Teori masyarakat massa, elitis konservatif yang dimajukan oleh de Tocqueville, Frederick Nietzsche, T.S Elliot, F.R Leavis dan Gasset yang secara amnya menerangkan tentang masyarakat massa adalah pasif. Melalui artikel diatas, dapat disimpulkan bahawa belia yang menggunakan teknologi media baru sememangnya mampu menggunakan teknologi itu untuk tujuan peribadi. Namun begitu, belia diibaratkan sebagai khalayak pasif yang hanya menerima maklumat yang digemburkan di media baru.

Bukan itu sahaja, situasi ‘Hegemony One Particular Group’ juga mungkin akan berlaku di mana teknologi media baru ini tidak dapat dinikmati oleh kesemua golongan belia kerana faktor ekonomi dan faktor persekitaran. Bagi mereka yang kurang mampu, adalah amat sukar untuk mereka mendapatkan bahan untuk mengakses teknologi ini dan tentunya tiada hubungan interpersonal yang dapat dicipta. Tentunya, teknologi ini lebih berpihak kepada golongan yang berkemampuan untuk memiliki dan menggunakan teknologi ini.


Kesimpulannya, tidak wajar bagi golongan belia menuding jari kepada media baru atas kelalaian sendiri semasa menggunakan teknologi komunikasi ini. Internet sememangnya membuka ruang kepada belia di seluruh dunia untuk berinteraksi seterusnya menjalinkan hubungan interpersonal. Belia wajar mengetahui batas dan panduan untuk menggunakan teknologi dengan sebaiknya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan